Monday, April 16, 2007

BN sedia hadapi isu perkauman

pilihanraya kini     4:54 AM    

Barisan Nasional (BN) bersedia berhadapan dengan isu perkauman yang mungkin akan dimainkan oleh parti pembangkang dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Beliau yang juga Pengerusi BN Selangor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor menegaskan, jentera pilihan raya BN sedar bahawa parti pembangkang akan memainkan sentimen perkauman terutama pemilihan calon dari MIC dikawasan yang mempunyai 50 peratus pengundi orang Melayu.

‘‘Saya percaya bahawa parti pembangkang akan memainkan isu mengenai pemilihan calon dari MIC bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok memandangkan kerusi itu telah ditetapkan untuk MIC,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Program Satu Rumah Satu Pokok di Ara Damansara dekat sini hari ini.
Pilihan raya kecil DUN Ijok di adakan berikutan kematian Datuk K. Sivalingam, 59, yang diserang sakit jantung di Chennai, India pada 4 April lepas.

Mohamad Khir menegaskan, BN tetap dengan pendirian untuk menamakan calon bagi pilihan raya itu dari MIC kerana berpegang kepada prinsip perkongsian kuasa.

‘‘Ini adalah pendirian kita dan sekiranya ia menyebabkan pemilihan calon dari MIC ini akan menyebabkan pembangkang memainkan isu perkauman, BN akan memastikan isu ini tidak akan menjejaskan para pengundi.

‘‘Kita percaya pengundi-pengundi di Ijok matang dan tidak mudah untuk terpedaya dengan muslihat parti pembangkang yang akan memainkan isu perkauman terutama dari segi calon bagi kawasan tersebut,’’ katanya.

Ditanya mengenai calon yang akan mewakili BN dalam pilihan raya tersebut, Mohamad Khir memberitahu, calon yang dipilih adalah di kalangan golongan muda dan penduduk tempatan.
Jelasnya, calon yang dipilih itu dilihat mampu untuk mewakili semua kaum di dalam kawasan DUN Ijok.

‘‘Saya dan Pengerusi MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu akan mengumumkan calon BN bagi pilihan raya kecil itu esok, cuma apa yang dapat saya katakan ialah calon itu mencerminkan keprihatinan parti untuk menjaga kepentingan serta mewakili semua kaum di kawasan tersebut,’’ katanya.

Mohamad Khir memberitahu, beliau yakin calon yang dipilih itu akan mendapat sokongan pengundi di DUN Ijok.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.