Thursday, April 19, 2007

Najib: BN Bukan Parti Yang Memainkan Sentimen Perkauman

pilihanraya kini     2:23 AM    

Barisan Nasional (BN) bukan sebuah parti yang memainkan sentimen perkauman tetapi lebih mementingkan kerjasama dan muafakat di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, ini dapat dilihat dengan tindakan BN meletakkan calon dari MIC pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 28 April ini walaupun Ijok mempunyai lebih 50 peratus pengundi Melayu dan 27 peratus pengundi India daripada jumlah 12,272 pengundi.

"Tetapi atas semangat setiakawan di antara kaum, BN telah meletakkan calon dari MIC, K. Parthiban sebagai calon," katanya semasa berucap melancarkan jentera pilihan raya kecil BN di Ijok, dekat sini malam ini.

Beliau berkata tindakan BN mementingkan kerjasama antara kaum pada pilihan raya kecil sebelum ini telah terbukti berjaya.Ini dapat dilihat dengan kemenangan BN pada pilihan raya kecil DUN Batu Talam, Pahang pada awal tahun ini dan DUN Machap, Melaka pada minggu lepas, katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Agung BN Datuk Seri Mohd Radzi Sheik Ahmad, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Setiausaha Agung MCA Datuk Ong Ka Chuan serta lebih 3,000 penyokong dan anggota BN.

Pilihan raya kecil DUN Ijok diadakan berikutan kematian Datuk K. Sivalingam, pada 4 April lepas akibat diserang sakit jantung di Lapangan Terbang Chennai, India.-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.