Tuesday, April 17, 2007

Parthiban ada kriteria wakil rakyat

pilihanraya kini     9:11 AM    

Mohamad Khir Toyo mengucapkan tahniah kepada K. Parthiban
selepas mengumumkannya sebagai calon Barisan Nasional di ijok, Selangor

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yakin calon Barisan Nasional (BN), K. Parthiban, 38, yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 28 April ini mampu menawan hati pengundi.

Beliau berkata, sebagai anak tempatan, anak muda yang berpendidikan tinggi itu juga mampu memahami keperluan dan aspirasi penduduk.

Menurut beliau, pengundi juga kebiasaannya akan memilih calon yang dapat memberikan khidmat sepanjang masa dan bukan sekadar bercakap kosong.

‘‘Parthiban mempunyai semua kriteria untuk menjadi seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab, komited, mesra rakyat dan mementingkan kesejahteraan rakyat.

‘‘Beliau mempunyai hubungan kerja yang rapat dengan parti-parti komponen BN yang lain terutamanya UMNO,’’ katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan selepas pengumuman calon BN oleh Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo di Dewan Harmoni, Batang Berjuntai hari ini.

Menurut beliau, Parthiban juga fasih dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil.

‘‘Ini membolehkan beliau berkomunikasi dengan orang ramai,’’ katanya.
Samy berkata, MIC percaya pengundi akan memilih calon berdasarkan latar belakang pendidikan serta khidmatnya kepada rakyat dan bukan berdasarkan kaum.

Beliau berkata, BN merupakan sebuah parti pelbagai kaum yang berjaya memimpin negara ini sejak merdeka kerana formula kongsi kuasa yang diamalkan.

Katanya, formula tersebut memberi peluang kepada semua kaum diwakili sama ada di peringkat Parlimen dan DUN.

‘‘Semangat bersatu dalam perjuangan dan semangat berkongsi kuasa adalah tunjang kekuatan negara bermula dari peringkat merintis perjuangan kemerdekaan sehinggalah mengurus sebuah negara merdeka yang berjaya,’’ jelasnya.

Tambah beliau, BN telah berjaya mencapai persefahaman yang mencakupi aspirasi semua kaum.

‘‘Walaupun calon BN dari parti MIC tetapi Parthiban akan berkhidmat untuk semua kaum. Ini merupakan tradisi dan tanggungjawab setiap parti dalam BN,’’ ujarnya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.