Monday, April 16, 2007

Parthiban calon BN untuk pilihan raya kecil Ijok

pilihanraya kini     8:36 PM    


Bekas pegawai Ko-akademik Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Selangor K. Parthiban, 38, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.
Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo, yang juga Menteri Besar Selangor, mengumumkan nama beliau di hadapan kira-kira 3,000 penyokong BN di Dewan Harmoni, Batang Berjuntai di sini petang ini.

Hadirin yang memenuhi dewan itu secara spontan memberikan sorakan sokongan yang kuat sebaik saja nama Parthiban diumumkan pada pukul 5.20 petang, yang turut disiarkan secara langsung menerusi RTM1.

Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chan Kong Choy; dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Dalam ucapannya, sejurus selepas diperkenal oleh Dr. Mohd Khir, Parthiban berjanji kepada para penyokong dan pengundi di kawasan DUN Ijok bahawa beliau akan meneruskan tradisi BN untuk membela rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya akan pastikan kerusi ini kekal di tangan BN, saya merayu kepada tuan-tuan dan puan-puan tolonglah saya,” katanya.

Beliau juga berjanji akan meneruskan semua pembangunan yang dirancang dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.
Dilahirkan pada 6 Okt., 1968 di Ladang Raja Musa, Kuala Selangor, Parthiban, adalah juga Setiausaha MIC bahagian Tanjung Karang dan bekas pegawai Ko-akademik di Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Selangor.

Beliau turut menyandang jawatan utama dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk sebagai Presiden Majlis Gabungan Persatuan-persatuan Belia Daerah Kuala Selangor.
Beliau juga Presiden Kelab Bola Sepak Permatang; Pengerusi Persatuan Belia Hindu (HYO) Tanjung Karang dan Rukun Tetangga Raja Musa, Kuala Selangor; Setiausaha Persatuan Pelajar Sri Sakti Kuala Selangor; selain pernah menjadi Setiausaha Kelab Belia Tamil Kuala Selangor dari 1990 sehingga 2001.

Beliau juga ialah ahli panel Mahkamah Juvana Kuala Selangor dan ahli panel pelawat Hospital Tanjong Karang.

Parthiban, berkelulusan sarjana dalam bidang Pengurusan Pendidikan Universiti Malaya, serta Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (B.Sc.(Hons)) dari universiti yang sama.

- Bernama

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.