Thursday, April 19, 2007

Parthiban lebih layak – Khir Toyo

pilihanraya kini     2:12 AM    

Setiausaha MIC Tanjung Karang, K. Parthiban mengatasi kelebihan Ketua MIC Bahagian Kuala Selangor, S. P. Thirumoorthy untuk dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.

Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menjelaskan, kedua-dua mereka mempunyai keistimewaan masing-masing tetapi Parthiban mempunyai latar belakang yang lebih meyakinkan dari segi pendidikan, usia dan penerimaan orang ramai di kawasan tersebut.

‘‘Kita tengok latar belakang Parthiban adalah lebih baik, penerimaan masyarakat terhadap beliau dengan usia yang muda, mempunyai kelayakan dalam pelajaran dan amat penting fasih berbahasa Melayu kerana 61 peratus pengundi merupakan orang Melayu.

‘‘Kita mahu memberi sesuatu yang istimewa kepada penduduk Ijok dalam pilihan raya kecil ini. Ini juga adalah kehendak penduduk Ijok sendiri, maka Parthiban adalah calon yang amat sesuai,” katanya selepas menghadiri program amal Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Selangor (Balkis), di Kompleks Wawasan Balkis di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor mengulas mengenai peletakan jawatan Thirumoorthy, 55, yang turut diikuti oleh Ketua MIC cawangan di Kuala Selangor semalam selepas pengumuman Parthiban sebagai calon BN dibuat.

Dalam pada itu, Mohamad Khir menyifatkan tindakan berebut-rebut untuk menjadi calon dalam pilihan raya bukan perjuangan sejati BN tetapi adalah perjuangan yang mementingkan individu.

‘‘Walaupun mungkin ada masalah dengan pemimpin MIC tetapi sebagai pejuang tulen, kita perlu terus sokong BN.

‘‘Tetapi kalau sudah marah kerana tak dapat jadi calon itu sudah menjadi perjuangan individu. Memang kita ada kelayakan dan rasa kita layak tetapi presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tahu siapa lebih layak,” katanya.

Mengenai surat peletakan jawatan Thirumoorthy, beliau berkata, soalan itu perlu diajukan kepada Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

‘‘Setakat ini BN Selangor tidak menerima apa-apa surat atau dimaklumkan mengenai peletakan jawatan.

‘‘Bagaimanapun, kita akan lihat perkembangan tindakan beliau dalam beberapa hari ini. Saya harap ada sesuatu yang positif,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, 12 ketua MIC cawangan yang dikatakan oleh Thirumoorthy turut meletakkan jawatan juga diragui kesahihannya.

‘‘Saya diberitahu 12 cawangan ini tidak langsung melibatkan Ijok. Yang kita pentingkan sekarang adalah perpaduan dalam Ijok.

‘‘Saya juga dimaklumkan sebelum ini hanya enam tidak menyertai mesyuarat MIC Selangor baru-baru ini dan semalam semasa pengumuman calon, kesemua mereka sudah kembali,” katanya

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.