Monday, April 16, 2007

Pemuda BN beri amaran dedah helah pembangkang

pilihanraya kini     2:50 AM    

Pemuda Barisan Nasional (BN) akan mendedahkan setiap strategi dan tipu helah pembangkang yang cuba memecah-belahkan masyarakat dengan menggunakan isu perkauman serta agama pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok yang bakal berlangsung 28 April ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu perlu kerana helah seperti itu tidak membantu usaha pembangunan rakyat di Ijok.
Beliau turut menyifatkan pembangkang ketandusan isu dan terdesak sehingga sanggup menggunakan taktik serangan peribadi serta isu perkauman untuk meraih undi.

“Mereka (pembangkang) ini merupakan golongan ‘desperado’ (terdesak) dan berfikiran sempit dengan menimbulkan perpecahan serta huru-hara dalam masyarakat dalam setiap pilihan raya.
“Taktik seumpama ini mereka gunakan di Machap dan dalam pilihan raya di Ijok ini, kita akan ikuti setiap inci pergerakan mereka.

“Kita akan berusaha supaya majoriti kemenangan yang besar diperoleh hasil persefahaman parti-parti komponen serta kematangan dan kemantapan kepimpinan BN,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata demikian selepas melancarkan jentera pilihan raya kecil DUN Ijok bagi Pemuda BN di sini hari ini.

Turut hadir dalam pelancaran tersebut ialah Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, Naib Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin serta barisan pimpinan Pemuda parti-parti komponen BN.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, jentera pilihan raya Pemuda BN mua digerakkan hari ini sehingga hari pengundian pada 28 April.

“Kita akan bergerak mulai hari ini tanpa menoleh ke belakang lagi. Kita akan bersama-sama dengan setiap bahagian bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya ini,” ujarnya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.