Thursday, April 19, 2007

Polis Beri Amaran Tindakan Tegas Bagi Yang Cuba Gugat P/raya Kecil

pilihanraya kini     5:58 AM    



TINDAKAN TEGAS… Tan Sri Musa Hassan (kanan) pada persidangan media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor. Di sebelah beliau ialah Ketua Polis Selangor Datuk Ismail Omar.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini memberi amaran terhadap pihak yang didapati cuba mengambil kesempatan menggugat kelancaran perjalanan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, tindakan tegas menanti mereka.

Beliau berkata 1,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas di Ijok sehingga hari pengundian nanti bagi memastikan sebarang insiden tidak diingini, seperti kes pergaduhan pada pilihan raya kecil DUN Machap, Melaka, baru-baru ini, tidak berulang.

Insiden pergaduhan di Machap pada 3 April lalu dilaporkan membabitkan beberapa penyokong parti MIC dan DAP pada hari penamaan calon pilihan raya kecil kawasan berkenaan, yang menyaksikan polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun bagi membantu siasatan.

"Saya harap semua yang terlibat mematuhi undang-undang. Kalau semua patuhi undang-undang, saya rasa tidak akan timbul sebarang masalah," katanya kepada pemberita pada persidangan media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini, hari ini. Turut serta pada sidang media itu ialah Ketua Polis Selangor Datuk Ismail Omar dan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ibrahim Chin.

Musa sebelum itu mendengar taklimat oleh Ismail berhubung persediaan pasukan polis menghadapi pilihan raya kecil DUN Ijok yang dijadual berlangsung pada 28 April ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk K. Sivalingam yang diserang sakit jantung di Lapangan Terbang Chennai, India pada 4 April lalu.Esok adalah hari penamaan calon manakala pengundian ialah pada 28 April ini. -- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.