Sunday, August 3, 2008

Pertarungan Moral UMNO dan PKR di Permatang Pauh

pilihanraya kini     4:04 AM    


Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim habis-habisan dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh kerana ia merupakan satu pertarungan moral. Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd.Noor berkata, BN harus ‘masuk ke gelanggang’ dengan keyakinan tinggi kerana dari segi moralnya parti itu berada di pihak yang benar. ‘‘Justeru kita tidak harus melihat ini politik kalah menang sebaliknya satu pertarungan moral, satu pertempuran untuk mempertahan dan menegakkan kebenaran,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini. Mohamad Ezam mengulas persediaan yang harus dilakukan oleh BN bagi berhadapan dengan Anwar yang juga Penasihat PKR dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang akan diadakan tidak lama lagi. Kerusi berkenaan kosong selepas penyandangnya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta pada Khamis lalu. Mohamad Ezam menegaskan, BN dan UMNO perlu mempertahankan hujah bahawa negara ini berada dalam keadaan bahaya berikutan politik baru yang dibawa oleh Anwar.

‘‘Tindakan beliau adalah satu ancaman yang boleh merosakkan struktur politik dan sosial negara ini. Dalam sejarah, kita tidak pernah diancam oleh struktur di mana orang bukan Melayu semakin berani mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kontrak sosial,’’ katanya. Oleh itu kata beliau, UMNO harus melihat pertembungan dengan Anwar dari sudut politik demi perjuangan bangsa dan agama.

1 comments :

lansksp said...

Saya setuju dengan pendapat saudara dan amat berharap semua pengundi di Permatang Pauh membuka mata dan minda dan mengundi untuk kesejahteraan negara bukannya untuk kepentingan peribadi individu tertentu semata-mata. Ingatlah pemimpin boleh datang dan pergi tetapi biarlah Islam dan Melayu terus subur di mata dunia

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.