Thursday, October 24, 2013

'Berani Hijrah' slogan BN di #PRKSgLimau

pilihanraya kini     3:32 PM    


'Berani Hijrah' adalah slogan Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, 4 November ini. 

Pengerusi BN Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata slogan itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat Jawatankuasa BN negeri dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu di Bilik Gerakan BN di Sungai Lentang, Sungai Limau dekat sini selepas proses penamaan calon PRK DUN Sungai Limau di Dewan Datuk Madi, di sini.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah bagaimanapun tidak memberi maklumat lanjut mengenai slogan itu, dan hanya memaklumkan bahawa ia adalah antara strategi bagi menarik pengundi di kawasan berkenaan.

“Kita akan cuba gunakan pendekatan (kempen) sedikit di luar kotak... kita tengok kalau cara ini berkesan atau tidak, kita tunggu dan lihat.

“Pendekatan ini diusulkan sendiri oleh saya dan dipersetujui Timbalan Pengerusi BN (Muhyiddin) dan juga secara konsensus,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah. 
Pendekatan berhemah

Sementara itu, Mukhriz berkata jentera BN akan menggunakan pendekatan berhemah dalam kempen menarik sokongan penduduk setempat terutama kalangan pengundi.

Katanya, pendekatan sebegitu dipilih kerana BN mempunyai hubungan baik dengan bekas penyandang kerusi DUN Sungai Limau yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Sebagai menghormati beliau, kita akan lebih berhemah dan sensitif dalam melaksanakan kempen. Apapun, kita tetap berharap dapat mempertingkatkan kemajuan di kawasan ini supaya rakyat di Sungai Limau dapat menikmati kebaikannya,” katanya.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.