Tuesday, November 26, 2013

Pimpinan Pas sambut baik cadangan muzakarah dengan UMNO

pilihanraya kini     12:30 PM    


Pimpinan PAS menyambut baik kesediaan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bermuzakarah dengan Umno dalam usaha bagi melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Malah, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Wan Ramli menyifatkan cadangan tersebut sebagai satu perkembangan yang baik untuk kedua-dua parti itu yang sekian lama mencari jalan penyelesaian untuk agenda Islam.

"Bermuzakarah ini adalah satu perkara yang perlu, hasil daripada keputusan, muzakarah adalah sangat penting.

"Cuma bagaimana kita melihat kepada keputusan itu, keputusan muzakarah kemudian melihat kepada pelaksanaan," katanya ketika ditemui kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata peluang untuk berbuat demikian seolah-olah sukar untuk dilaksanakan apatah lagi mahu diimplimentasikan di kalangan umat Islam di negara ini.

"Secara teorinya, muzakarah adalah sangat baik, tetapi teori itu satu hal dan pelaksanaan satu hal, jadi keputusan melihat kepada keputusan muzakarah.

"Sesuai atau tidak sesuai perlu dilihat daripada semasa ke semasa," katanya.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu hari ini berkata Umno bersifat terbuka berhubung kesediaan PAS untuk bermuzakarah dengan parti itu mengenai hal ehwal pentadbiran Islam di negara ini.

"Kita terbuka tetapi kita nak tengok apa skopnya dan kita nak minta penjelasan lanjut daripada pihak PAS," kata Perdana Menteri yang juga Presiden Umno kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 29 anggota Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) di sini.

Selain itu, Najib juga turut mendedahkan bakal bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob sebagai usaha pertama ke arah langkah berkenaan.

PAS semalam melahirkan kesediaan bermuzakarah dengan Umno dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, kesediaan PAS bermuzakarah itu dizahirkan dari kepakaran dan pemimpin mereka yang menguasai pelbagai bidang profesional seperti undang-undang, ekonomi dan penguatkuasaan.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.