Monday, December 2, 2013

"Berilah peluang dahulu kepada Ustaz Kazim Elias - Dr Agus

pilihanraya kini     10:11 AM    


“Berilah peluang dahulu kepada Ustaz Kazim Elias untuk memainkan peranannya membangunkan ummah ini,” luah Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berhubung pelantikan pendakwah terkenal , Mohammad Kazim Elias sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Menurut Agus yang juga merupakan pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pelantikan tersebut harus dilihat dari perspektif yang positif, kerana lantikan itu dapat memberi lonjakan kepada Umno sekali gus dapat menepis tohmahan bahawa Perdana Menteri menolak golongan agamawan dalam menerajui kepimpinan beliau.

“Saya setuju dengan pelantikan Ustaz Kazim Elias sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno. Jika tidak dilantik, nanti ramai pula kata Perdana Menteri menolak agamawan.

“…oleh itu bagi saya kita (masyarakat) perlu memberi peluang terlebih dahulu kepada Ustaz Kazim Elias untuk memainkan peranannya dalam membangunkan ummah ini,” katanya dipetik menerusi laman Facebooknya.

Dalam nada yang sama, Agus menolak tanggapan bahawa seorang ustaz itu perlu menjadi ahli atau penyokong Pas baru ustaz itu dianggap sebagai seorang ustaz yang baik.

“Jangan hanya menganggap seorang ustaz itu perlu menjadi ahli atau penyokong Pas baru ustaz itu baik.

“Saya tidak mendokong idea sebegini kerana dari dulu saya berhujah Pas itu hanyalah sebuah parti politik sahaja, bukannya lebih suci dari itu,” tegasnya.

Baru-baru ini Mohammad Kazim atau dikenali Ustaz Kazim adalah antara sembilan individu yang dilantik sebagai ahli MT baru sepertimana yang diumumkan oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Lapan lagi MT yang dilantik ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin; Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin; Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim.

Turut tersenarai, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani; bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.