Friday, December 20, 2013

Gara-gara laporan palsu, KDN gantung akhbar 'The Heat'

pilihanraya kini     8:56 AM    


Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung akhbar mingguan The Heat serta merta untuk satu tempoh yang tidak dapat dipastikan lagi.

Penggantungan tersebut dipercayai berhubung penyiaran artikel muka depan mengenai perbelanjaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Penggantungan itu disahkan oleh portal milik syarikat tersebut, The Ant Daily yang turut dipaparkan di laman webnya, mengumumkan bahawa The Heat telah menghentikan penerbitannya kerana mematuhi arahan pemberhentian yang dikehendaki oleh KDN.

Portal tersebut turut mengesahkan dengan penggantungan itu, akhbar mingguan tersebut tidak akan diterbitkan pada 21 Disember seperti yang dijadualkan.

"Kami akan memaklumkan kepada pembaca, pelanggan dan pengiklan mengenai perkembangan lanjut melalui laman web ini dan lain-lain saluran.

"Pelanggan akan diberi ganti rugi yang sewajarnya, melalui lanjutan tempoh langganan secara automatik," katanya.

Akhbar mingguan tersebut memfokuskan kepada isu politik, ekonomi, dan sosial, dilaporkan menerima surat tunjuk sebab minggu lalu.

Walaupun dalam surat tunjuk sebab berkenaan tidak menyatakan secara spesifik mengenai sebarang artikel yang disiarkan, ia dipercayai berhubung laporan artikel yang bertajuk 'Semua mata tertumpu kepada perbelanjaan besar oleh PM Najib' yang disiarkan pada edisi yang dikeluarkan pada, 23 hingga 29 November.

Mereka juga diberikan tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab berkenaan.

Cubaan untuk mendapatkan komen daripada Ketua Pengarang The Heat David Lee Boon Siew bagaiamanapun tidak berjaya.

1 comments :

Anonymous said...

Gantung jee cina tu dlm penjara...

Fitnah bukan dpt bina negara pon...

Tu bukan pendpt alternatif....yg perlu dilyn..



© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.