Friday, December 20, 2013

Kenapa Ustaz Kazim keluar Pas, tolak MT UMNO?

pilihanraya kini     10:30 AM    


Pas sendiri berjalan tidak betul, macam mana parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu mahu membetulkan cara berjalan orang lain.

Begitu juga, kalau hal ehwal dalaman parti sendiri pun mereka tidak tahu, tidak ada pendirian tegas, tidak ada keputusan muktamad atau tidak faham setiap dasar, bagaimana mereka mahu menjadi pemimpin Islam contoh.

Tidak perlu pergi jauh atau mengambil contoh samar-samar untuk menggambarkan Pas sebagai sebuah parti celaru dan parti yang tidak tahu apa. Cukup dengan menjadikan isu paling popular minggu ini mengenai pendakwah bebas, ustaz Mohammad Kazim Elias.

Kes ini sesuai sangat dengan pepatah Melayu 'Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'. 

Pencerahan kepada maksud pepatah ini ialah kalau tidak kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menawarkan jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO kepada ustaz Mohammad Kazim, rakyat tidak akan tahu kecelaruan dalam pengurusan dan pentadbiran Pas.

Lihat sahaja beberapa jam selepas Presiden UMNO mengumumkan pelantikan itu, tiba-tiba muncul suara cemburu, iri hati dan hasad dengki pemimpin Pas terhadap pendakwah bebas itu.

Mereka sengaja mahu menggagalkan usaha UMNO, selain mempunyai niat hendak memburuk-burukkan ustaz Mohammad Kazim daripada menerima jawatan kanan dalam parti Melayu itu.

Mestilah perasaan cemburu, hasad dengki dan iri hati membuak-buak dalam diri pemimpin Pas kalau ustaz Mohammad Kazim yang sebelum ini pernah menjadi ahli parti itu tiba-tiba mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka daripada UMNO.

Siapa tidak marah. Siapa tidak cemburu. Jadi, jalan terbaik ialah pasang umpan untuk memfitnah dan memburuk-buruk ustaz itu supaya UMNO 'tahu' siapa sebenarnya ustaz Mohammad Kazim Elias.

Dengan itu, keluarlah kenyataan daripada Ketua Dewan Pemuda Pas Perak, Raja Ahmad Iskandar yang mendakwa ustaz Mohammad Kazim masih lagi ahli Pas sejak tahun 1998.

"Dewan Pemuda Pas Perak ingin membuat pengesahan bahawa Mohammad Kazim adalah ahli Pas sejak 17 Julai 1998 dengan nombor keahliannya 0475276 di bawah cawangan Kampung Manjoi di Tambun, Perak," kata Raja Ahmad.

Kenyataan itu kemudian disanggah oleh Dewan Ulama Pas Perak dan Naib Presiden Pas yang baru, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Dalam kenyataan rasmi Dewan Ulama Pas Perak mengatakan, dalam muktamar dewan itu pada 14 Mei 2012 sebanyak dua usul telah diluluskan sebulat suara. Salah satu usul ialah mendesak Ustaz Mohammad Kazim dipecat keanggotaannya dari Pas sebab beliau dikatakan telah bertindak sebagai 'duri dalam daging' dengan menghentam Pas secara terang-terangan terutama dalam isu berkaitan penglibatan parti dalam Pakatan Rakyat.

Menurut usul itu lagi, tindakan itu amat penting agar ustaz Mohammad Kazim tidak merosakkan fahaman umat Islam termasuk sebahagian ahli Pas sendiri yang terpengaruh dengan kepetahannya berpidato.

Muktamar juga bersetuju, beliau telah menggunakan hujah yang begitu dangkal dan tidak langsung mengambilkira dasar Tahalluf Siasi yang telah diluluskan oleh Majlis Syura Ulama Pas dan sebelum ini pernah dikatakan dikesan menghuraikan hukum serta mentafsir al-Quran tidak berdasarkan tafsiran ulamak mufassirin.

Adalah diharapkan agar semua Kawasan dan Cawangan PAS di seluruh Negeri Perak tidak lagi menggunakan khidmat beliau dalam semua program anjuran parti. Demikian isi kandungan usul yang dikaitkan dengan status ustaz Mohammad Kazim sebagai ahli Pas.

Tuan Ibrahim pula mengatakan, pendakwah bebas itu telah dipecat dari parti berkenaan sejak Mei lalu.

“Ya, beliau telah dipecat oleh parti Mei lalu,” katanya merujuk kepada status terkini keahlian ustaz Mohammad Kazim sebagai ahli Pas Kampung Manjoi dalam Kawasan Tambun, Ipoh.

Namun, pada malam Sabtu lalu di sebuah kawasan perumahan PPR Setapak, Kuala Lumpur, ustaz Mohammad Kazim membuat kenyataan mengesahkan beliau masih lagi ahli Pas.

“Ya, saya memang anggota Pas…saya tidak pernah keluar dari Pas walaupun dahulu ada ura-ura kata saya dipecat dari Pas. Sampai sekarang saya tidak terima surat pemecatan daripada Jawatankuasa Disiplin Pas,” katanya membetulkan keadaan.

Kenapa berlaku perbezaan maklumat dalam kalangan pemimpin Pas? Sedangkan yang membuat kenyataan itu ialah golongan bertaraf pemimpin kanan. Mustahil pemimpin peringkat pusat dan negeri boleh berbeza pendapat dalam bab keahlian ahlinya terutama melibatkan pendakwah bebas tersohor seperti ustaz Mohammad Kazim.

Apakah kerana tiga sifat tadi yang tertanam kukuh dalam hati hitam memaksa mereka cemburu, hasad dengki dan iri hati dengan kejayaan ustaz Mohammad Kazim dalam usaha menyampaikan dakwah di jalan yang betul serta semakin popular selepas dipecat dan dilamar pula oleh UMNO?

Mengulas perkara itu, ustaz Mohammad Kazim berkata, Pas sepatutnya merasa sikit malu dengan UMNO kerana boleh menjemput orang di luar UMNO untuk berada dalam Majlis Tertinggi parti itu berbanding Pas yang tidak pernah menjemputnya.

"Apatah lagi (Pas) nak jadikan (saya) sebagai teman yang mesra penasihat dan sebagainya. Pas sendiri tak panggil saya… orang lain di luar parti memanggil dan menghargai ahli Pas… (Tetapi) Pas sendiri tidak pernah hargai saya, sedangkan saya tidak pernah keluar Pas.

"Sepatutnya dalam bab ini kepimpinan Pas khususnya Pas Perak merasa malu dengan Datuk Seri Najib. Dia tahu saya ahli Pas… perkara ini saya sendiri beritahu pada Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Menteri Besar Perak) bahawa saya bukan orang UMNO… Tetapi saya sokong agenda perpaduan, agenda Islam saya sokong… Pas malu… kalau mereka hargai pendakwah-pendakwah seperti saya, rasanya lama dah saya dipanggil,” katanya meluahkan sepenuhnya beban yang berbuku selama ini.

Beliau bagaimanapun, membuat keputusan rasmi dan muktamad dengan mengumumkan keluar dari Pas dan pada masa sama menolak pelantikan sebagai anggota MT UMNO oleh Perdana Menteri. - MalaysiaGazette


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.