Tuesday, December 10, 2013

#Nasional: Gara-gara ular, nenek langgar cucu sampai mati

pilihanraya kini     10:30 AM    


Seorang bayi berusia lima bulan maut akibat parah di kepala selepas dirempuh kereta dipandu neneknya di sebuah restoran di Kilometer 32, Jalan Melaka-Muar, Merlimau di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika mangsa, Norisah Wae Useng, berada dalam kereta sorong bayi di belakang restoran itu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nur Hishamuddin Hashim, berkata kemalangan dipercayai berpunca apabila nenek tiri mangsa, Roda Komeng, 28, tertekan pedal minyak ketika hendak memberhentikan kereta di belakang restoran terbabit, sebelum merempuh mangsa.

Beliau berkata, ketika kejadian, bayi itu berada dalam kereta sorongnya di bawah garaj tempat letak kereta, manakala bapa saudaranya pula sedang memotong bawang di pangkin belakang restoran.

“Siasatan awal mendapati, nenek tiri mangsa yang berasal dari Pattani, Thailand ini hendak memberhentikan kereta Proton Wira dipandunya tetapi secara tiba-tiba dia tertekan pedal minyak lalu merempuh kereta sorong mangsa dan seterusnya melanggar dinding tandas.

“Akibat rempuhan kuat itu, bayi berkenaan cedera parah di kepala dan masih bergerak serta bernafas, sebelum dikejarkan ke Poliklinik Merlimau untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, bayi itu kemudian disahkan meninggal dunia jam 5.45 petang di poliklinik terbabit.

Katanya, kejadian berlaku ketika restoran itu masih belum dibuka dan kereta dipandu Roda turut dinaiki menantu tirinya berusia 20 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan.

“Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat sebelum dituntut warisnya untuk dikebumikan di Thailand.

“Proton Wira berkenaan ditahan untuk pemeriksaan PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, pekerja restoran berkenaan, Zamri Nik Muda, 23, berkata ketika Roda memberhentikan kenderaan, seorang penghantar tong gas berusia 30-an cuba bergurau sambil menjerit memberitahu terdapat ular dalam kereta itu.

“Terkejut dengan jeritan itu, Roda tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan dinaikinya melanggar kereta sorong bayi itu sebelum merempuh dinding tandas,” katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.