Tuesday, December 10, 2013

#Nasional: Syarikat bumiputera bina kondo paling tinggi di Malaysia

pilihanraya kini     8:45 AM    


Dua bangunan kondominium mewah setinggi 65 dan 70 tingkat yang merupakan menara kediaman tertinggi di Malaysia akan dibina di sini oleh pemaju hartanah bumiputera, Astaka Padu Sdn Bhd menerusi projek "The Astaka@ 1 Bukit Senyum" yang akan siap sepenuhnya pada 2017.

Selain daripada dua kondominium mewah itu, keseluruhan projek "The Astaka@1 Bukit Senyum" yang terletak di kawasan Flagship A Iskandar Malaysia dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) lebih RM4 bilion itu juga dilengkapi pusat beli-belah, bangunan pejabat Gred A dan pelbagai kemudahan lain.

Keseluruhan projek di atas tanah pegangan bebas lebih dua ekar yang kini menempatkan Stadium Tertutup dan Stadium Hoki Johor Baharu yang bakal melonjakkkan lagi pasaran hartanah di Iskandar Malaysia itu dijangka siap sepenuhnya pada 2020, kata Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Padu, Datuk Zamani Kassim.

“1 Bukit Senyum adalah projek mega pertama oleh syarikat Bumiputera 100 peratus di Johor dan merupakan sebahagian daripada langkah penswastaan dan pelan pembangunan semula bandaraya Johor Bahru oleh Kerajaan Negeri Johor. 1 Bukit Senyum adalah projek pembangunan sulung kami dan juga yang paling mencabar kerana kami akan membina menara kediaman yang tertinggi di negara ini," katanya.

Katanya, menara kediaman The Astaka setinggi 70 tingkat itu apabila siap kelak akan mempunyai ketinggian 301 meter.

Harga bagi 438 unit kondominium mewah yang mempunyai keluasan daripada 2,207 kaki persegi kepada 5,408 kaki persegi itu bermula dari RM900 per kaki persegi, menjadikan nilai bagi setiap unit adalah di antara RM2 juta dan RM8.45 juta dan pemaju menurut Zamani juga akan membina sebuah terowong bagi menghubungkan Astaka@1 Bukit Senyum itu dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK).

Dengan harga sedemikian, menara kediaman The Astaka itu dijangka menarik pembeli-pembeli tempatan dan luar negara khususnya warga Singapura serta ekspatriat yang tinggal dan bekerja di republik terbabit.

Pembinaan kedua-dua menara kediaman itu yang mempunyai GDV RM1 bilion bermula bulan inidan terletak berhampiran dengan beberapa lagi projek kondominium mewah oleh pemaju hartanah lain termasuk Setia Sky 88 setinggi 55 tingkat oleh pemaju SP Setia yang sebelum ini diwar-warkan sebagai menara kediaman tertinggi di Johor Baharu.

Arkitek bagi menara kediaman adalah syarikat GDP Architects Sdn Bhd, manakala Penta-Ocean Construction yang terlibat di dalam projek pembinaan Menara Fukushima di Osaka, ION Orcharddan The Orchard Residences serta beberapa menara lain di Marina Bay, Singapura pula dipertanggungjawab bagi kerja-kerja pembinaan sub-struktur.

“Menerusi usahasama ini, kami berharap agar dapat memberikan yang terbaik dari segi kualiti kepada para pelanggan kami bagi mengekalkan kewujudan kami dalam senario hartanah," kata Zamani.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.