Saturday, December 7, 2013

#PAU2013: Bukan dikhadamkan, tapi perlu dikhaderkan

pilihanraya kini     12:30 PM    


Generasi muda Umno perlu dikaderkan dan bukan dikhadamkan, untuk menjadi pemimpin dan pejuang Umno sebenar berbekalkan kekuatan minda dan jati diri kukuh.

Sehubungan itu jentera Umno perlu memantau proses itu dengan ketat kerana silap langkah generasi yang cuba dikaderkan itu akan dikhadamkan pula menjadi 'pak turut' hanya tunduk mengikut tanpa usul periksa yang boleh menjurus kepada pembentukan generasi pewaris parti yang lemah kelak.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Md Shuib Shukri berkata: "Terdapat garisan halus memisahkan antara istilah kader dan khadam namun membawa maksud yang amat berbeza". Menyifatkan usaha pengkaderan itu sebagai langkah yang baik ke arah melahirkan Umno yang lebih bersedia pada masa hadapan, beliau ketika dihubungi Bernama, berharap inisiatif ke arah itu dilaksanakan dengan ikhlas dan telus supaya hasilnya mencapai matlamat.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kader bermaksud anggota sesebuah parti politik terlatih untuk meneruskan perjuangan politik pada masa depan manakala khadam bermaksud orang suruhan yang setia mengikut suruhan tuannya.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa perhimpunan agung parti turut menyentuh mengenai pentingnya proses pengkaderan bagi melahirkan pemimpin yang berkaliber dan menjamin kelangsungan parti.

Md Shuib berkata dalam konteks parti politik mahupun korporat, beliau berkata seboleh mungkin, istilah khadam perlu dielakkan kerana tidak mahu melahirkan orang bawahan yang hanya tahu mengikut secara membuta tuli. 
"Khadam ini juga antara ciri-ciri lain, mereka ini hanya tahu melakukan sesuatu mengikut kepentingan diri sendiri, dan tidak segan merebut-rebut jawatan, berlainan dengan pemimpin kader yang apabila diberi ruang memegang jawatan dia akan memberi rahmat kepada semua orang," katanya.

Setiausaha Kelab Veteran Umno Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub, berkata proses pengkaderan dalam Umno penting bagi melahirkan generasi muda yang mempunyai jati diri yang tinggi dan tidak bersikap 'kacang lupakan kulit'.

"Saya bukan sahaja bercakap dalam konteks Umno, malah generasi muda secara keseluruhan juga perlu dikaderkan bagi memastikan generasi ini tidak mudah terpengaruh dengan anasir yang mampu merosakkan negara susulan tomahan membuta tuli pembangkang di alam siber," katanya.

Mustapha berkata dalam proses itu generasi muda Umno perlu memahami sejarah dan semangat perjuangan Umno sebenar di mana pejuangnya bersusah payah tanpa mengharapkan habuan serta ganjaran.

Beliau berkata sayap muda Umno iaitu Pemuda dan Puteri perlu mengambil langkah proaktif mendekati mahasiswa bagi membolehkan lebih ramai golongan itu ditarik menyertai Umno dan dikaderkan menjadi generasi pewaris yang cemerlang.

Pengerusi Biro Pengkaderan Politik Pemuda Umno, Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz berkata pengkaderan generasi baharu Umno itu penting bagi melatih dengan lebih khusus anggota-anggota muda yang dikesan mempunyai bakat kepimpinan.

Beliau berkata melalui Akademi Kapten Hussein dicadangkan Pemuda Umno, latihan yang dijalankan bukan sahaja dari segi akademik seperti syarahan tetapi juga berbentuk perbincangan meja bulat, kajian kes dan juga praktikal dengan para anggota akan turun padang merasai suasana sebenar.

"Bila sudah jelas dan terang dengan apa wadah perjuangan Umno itu, sudah tentu pemimpin-pemimpin muda ini tidak akan hanya menjadi 'pak turut' kerana mereka tahu apa perjuangan sebenarnya, apa yang betul dan apa yang salah," katanya.

Tengku Zuhri berkata bagi menunjukkan keseriusan Pemuda Umno mengenai pengkaderan ini, pergerakan tersebut mewujudkan Biro Pengkaderan Politik.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.