Saturday, December 7, 2013

#PAU2013: "Golongan muda bosan isu mazakarah" - Pemuda Pas

pilihanraya kini     4:30 PM    


Pemuda Pas mendakwa golongan muda berasa 'bosan' dengan isu muzakarah yang banyak kali dicadangkan namun tiada pelaksanaannya walaupun ia mendapat maklum balas daripada pimpinan Umno-BN.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas lalu itu baik, namun kedua-dua pihak dilihat tidak serius untuk merealisasikannya dan isu itu terus lenyap begitu sahaja seperti sebelum ini.

"Saya lihat anak muda bosan dengan isu muzakarah, berkali-kali disebut tetapi tiada pelaksanaan.

"Anak muda mahu kedua-dua pihak laksanakannya dengan baik, bukan sekadar buat cadangan dan tutup tanpa penyelesaian," katanya semasa sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian Online di Pejabat Agung Pas.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyarankan supaya muzakarah dengan Pas boleh disusuli selepas tamatnya Perhimpunan Agung Umno.

Muhyiddin berkata, Pas perlu mengemukakan cadangan tentang skop perbincangan serta pimpinan yang perlu hadir untuk menjayakan usaha tersebut.

"Kita (Umno) sentiasa terbuka, tidak pernah menolak dan ikhlas kalau ada mana-mana pihak mencadangkan diadakan muzakarah demi perpaduan Melayu dan Islam.

"Selepas Perhimpunan Umno boleh disusulkan tentang muzakarah ini, pihak Pas perlu beri cadangan tentang skop perbincangan dan siapa yang akan terlibat," katanya.

Sementara itu, menurut Suhaizan lagi, muzakarah itu tidak mengehadkan pembabitan pimpinan Pas dan Umno sahaja, sebaliknya ia terbuka kepada semua pihak berkepentingan.

Tegasnya, tafsiran sempit mengenai kerjasama muzakarah itu perlu dihindarkan kerana jika melibatkan Umno sahaja, dikhuatiri akan wujud agenda tertentu yang akan merugikan Pas pada masa akan datang.

"Muzakarah itu bukan antara Pas dan Umno sahaja, tetapi semua pihak boleh terlibat khususnya pelaksanaan syariat, isu anak muda dan sebagainya.

"Muzakarah itu bukan hendak satukan Pas dan Umno, ia boleh libatkan NGO Islam seperti Abim dan Ikram dalam memberikan pandangan dalam isu tertentu," katanya lagi.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.