Friday, December 6, 2013

#PAU2013: Kaunter JPJ macam gerai 'pisang goreng' panas

pilihanraya kini     7:30 PM    


Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), satu daripada gerai pameran agensi kerajaan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) umpama gerai pisang goreng panas, menjadi tumpuan ribuan pengunjung untuk mendapat perkhidmatan yang ditawarkan.

Pegawai Perhubungan Awam JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Syed Abdul Halim Syed Abdullah berkata sehingga semalam, sejumlah 26,000 individu telah memperbaharui lesen memandu di kaunter mereka sejak dibuka pada Selasa.

"Tinggal sehari sahaja lagi untuk mereka memanfaatkan perkhidmatan ini yang pantas dan cepat, hanya 15 minit sahaja untuk memperbaharui lesen memandu berbanding sejam di tempat lain," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kaunter berkenaan. Beliau berkata kaunter itu turut menyediakan perkhidmatan pendaftaran Skuad Muda 1JPJ dan mySikap. 

mySIKAP adalah sistem penyampaian perkhidmatan JPJ secara dalam talian khusus bagi perkhidmatan teras JPJ manakala Skuad Muda 1JPJ ditubuhkan Ogos tahun lepas sebagai 'mata dan telinga' bagi melaporkan kesalahan pengguna jalan raya.

Terdapat 26 gerai meliputi agensi kerajaan, kementerian dan syarikat swasta di pameran yang menyediakan pelbagai maklumat dan perkhidmatan yang ditawarkan mereka.

Tinjauan Bernama mendapati ramai pengunjung, yang mengunjungi Ekspo Jualan di Dewan Pameran Tun Razak 3, turut mengambil kesempatan ke kaunter JPJ, yang lokasinya begitu strategik berhampiran pintu ke dewan itu. 
Khairul Anuar Mustapha, 52, dari Tapah, Perak, berkata beliau mendapat tahu mengenai kaunter ini melalui isterinya yang memperbaharui lesen memandunya semalam.

"Kami datang pada setiap perhimpunan Umno dan ini pertama kali ada kaunter ini yang sememangnya bagus dan berguna. Satu contoh yang baik untuk perkhidmatan agensi kerajaan. Patut diwujudkan di mana-mana majlis, perhimpunan untuk dimanfaatkan pengunjung," katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2013 berakhir esok dan dijangka lebih ramai orang akan mengunjungi Ekspo Jualan, pelbagai kaunter dan pusat pameran diadakan di PWTC.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.