Saturday, December 7, 2013

#PAU2013: Kelab UMNO Mesir cadang supaya iktiraf bidang agama sebagai kerjaya profesional

pilihanraya kini     1:30 PM    


Mengiktiraf bidang agama sebagai kerjaya profesional dan kritikal boleh menarik lebih ramai golongan muda menyertai bidang berkenaan, kata Wakil Kelab UMNO Mesir, Ahmad Syahir Shafie. 

Oleh itu beliau menggesa kerajaan supaya memberi pengiktirafan itu untuk terus memartabat dan meningkatkan syiar Islam di samping mendekatkan golongan cerdik pandai Islam kepada UMNO.

Pada masa sama ia juga ibarat satu jaminan kepada pelajar Pengajian Islam bahawa mereka mempunyai masa depan yang cerah terutama dari segi kerjaya. "Bidang agama misalnya fiqah, tahfiz dan hadis perlu ditakrifkan sebagai bidang kritikal dan profesional, barulah tokoh agama bersama dengan UMNO," katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 di sini, hari ini. 

Pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir itu juga mahu kerajaan menimbang semula keputusan memberhentikan pemberian biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di luar negara. 

"Mara ini ditubuhkan untuk orang Melayu, kalau bukan mereka (MARA) siapa lagi nak tolong orang Melayu," katanya sambil disambut tepukan gemuruh daripada para perwakilan. 

Sementara itu, pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan lima syor, antara lain supaya sistem Sekolah Kebangsaan terus diperkasakan supaya generasi baru negara dapat dibangunkan bukan sahaja cemerlang dalam bidang pendidikan tetapi juga dengan jati diri yang kuat. 

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Papar, Armizan Ali, berkata pergerakan Pemuda merasakan syor itu seharusnya menjadi antara fokus utama dalam sistem pendidikan negara, walaupun tidak tercatat secara tersurat di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. 

"Yang nyata, memperkasa Sekolah Kebangsaan tidak bermakna kita meminggirkan apatah lagi menghalang perkembangan sekolah aliran lain. Namun ia merujuk kepada kesungguhan dan aspirasi kita untuk mewujudkan kesatuan, perpaduan dan integrasi nasional melalui agenda pendidikan," katanya ketika membahaskan usul yang sama. 

Justeru, dalam hal ini, Armizan yang juga Exco Pemuda UMNO pusat berkata, matlamat Pemuda UMNO ialah supaya pelbagai faktor menarik dapat diwujudkan supaya pada masa depan, ibu bapa tanpa mengira latar belakang akan menjadikan Sekolah Kebangsaan sebagai pilihan pertama mereka. 

Menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menubuhkan Kolej Komuniti Islam sebagai bertepatan dengan ajaran Islam sendiri, beliau berkata sebagai tambahan, Pemuda Umno ingin mengesyorkan agar pendidikan tahfiz dibawa ke dalam aliran perdana pendidikan negara.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.