Wednesday, December 4, 2013

#PAU2013: Peringatan Timbalan Presiden kepada tiga saya parti UMNO

pilihanraya kini     11:30 AM    


Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan tiga sayap utama parti itu supaya bersiap sedia bagi menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang bakal diadakan dalam tempoh empat tahun. 

Muhyiddin berkata, tempoh empat tahun sebelum PRU-14 itu bukanlah satu jangkamasa yang panjang tetapi harus digunakan setiap sayap untuk bersiap sedia dan memberi sepenuh komitmen bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Jangan kita ulangi kesalahan, kesilapan dan kelemahan lampau. Bina kekuatan baru. Yang hampa biar terbang, yang bernas biar tinggal. Kita mesti lebih lantang, berani dan yakin supaya kehadiran kita lebih dirasai oleh masyarakat. "Selesaikan sebarang masalah dengan segera supaya Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO benar-benar wujud sebagai pergerakan yang dihormati.Terjemahkan konsep transformasi politik sebagai hijrah minda dan sikap kepada yang lebih baik. 

"Generasi lama di dalam UMNO sudah menyumbang, yang penting ialah sumbangan generasi hari ini sebagai penyambung risalah perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanah air kita," katanya ketika berucap pada perasmian Perhimpunan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi. 

Beliau berkata, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang menjadi tonggak kekuatan parti itu memiliki kekuatan masing-masing untuk menggalas harapan orang Melayu dan Bumiputera kepada UMNO. 

"Bak kata pepatah: Yang kuat pembawa beban... Yang berani pelawan musuh... Yang cerdik pelawan perkara". Saya percaya, watak-watak yang disebut di dalam peribahasa Melayu ini semuanya ada di dalam ketiga-tiga pergerakan UMNO. 
"Yang kuat menyumbang tenaga kepada parti. Yang berani mara ke barisan paling hadapan di medan pertempuran. Yang cerdik bijak berbahas, berdebat, bersyarah, berforum untuk mematahkan hujah-hujah parti lawan," katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.