Wednesday, December 4, 2013

#PAU2013: TNB pentingkan diri sendiri - Ketua Pemuda

pilihanraya kini     3:33 PM    


Pemuda UMNO hari ini menggesa Tenaga Nasionan Berhad (TNB) agar prihatin kepada rakyat dan tidak boleh bermotifkan keuntungan semata-mata berikutan kenaikan tarif elektrik.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam ucapan dasarnya berkata rakyat dan komuniti perniagaan ketika ini mengeluh tentang tarif elektrik yang akan naik awal tahun depan.

“Namun kita difahamkan bahawa peningkatan tarif elektrik ini bukan sekadar untuk menampung peningkatan harga bahan api, tetapi juga bagi menambahkan laba keuntungan TNB yang sudah berbilion ringgit jumlahnya.

“Sebagai GLC, TNB perlu prihatin kepada rakyat dan tidak boleh bermotifkan keuntungan semata-mata. Bagi Pemuda, kenaikan tarif yang tidak setara dengan peningkatan kos bahan api hanya menguntungkan TNB yang tampak mementingkan kantung pemegang saham, bukan rakyat jelata.

“Kepada TNB dan juga GLC-GLC yang lain Pemuda mendesak janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata, tanggungjawab kepada rakyat jangan sesekali dilupa”, katanya.

Dalam ucapan dasarnya, Khairy juga turut menyentuh laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan salah laku dan kecuaian dalam menguruskan aset atau perbelanjaan negara.

“Pemuda memandang serius hal ini dan mendesak agar tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang terbukti bersalah. Jika ada salah laku yang nyata, kita wajib dakwa, jangan sampai rakyat tertanya-tanya.

“Pada masa yang sama, Pemuda mahukan agar proses audit yang berorientasikan pemantauan dan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera. Ini bagi membolehkan sebarang ketirisan dapat diketengahkan untuk tindakan kementerian yang terbabit semasa pengauditan dibuat, bukannya selepas seluruh proses itu selesai”, ujarnya.

Menyentuh isu perumahan yang merupakan masalah ruji anak muda hari ini, beliau menyambut baik langkah Kerajaan mengadakan Program Rumah Transit untuk pasangan muda baru berkahwin.

“Tapi kerajaan mesti menambah jumlah rumah transit ini, kerana setakat 632 unit yang bakal dilancarkan tahun depan, itu tidak mencukupi berbanding dengan keperluan yang amat mendesak.

“Bagi tujuan ini, Pemuda memohon agar kerajaan dapat meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membina perumahan mampu mililk bagi generasi muda”, katanya. 

3 comments :

Anonymous said...

BUDAK Oxford CAKAP.....betul KAH ,

Anonymous said...

masa PAU, cakap kena BESAR beb. mesti dapatkan pengaruh seolah sebelahi rakyat. yang pelik, kenapa tak hentam IPP yang sebenarnya mendapat 30 bilion tetapi penjimatan kerajaan sebanyak 4 bilion? mungkin jugak jika tarif tak naikpun, IPP still dapat subsidi dan terus boleh jana untung. KPU ada saham dalam IPP ke? cuba sesiapa cari maklumat....

Anonymous said...

Wahai macai Pakatan Haram.. sudah-sudah lah buat andaian yang membabi buta.

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.