Wednesday, December 4, 2013

#PAU2013: UMNO perkenal KPI, mahu lebih agresif lakukan perubahan

pilihanraya kini     1:30 PM    


UMNO akan memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi mengukur gerak kerja pemimpin di semua peringkat dalam usaha memperkasakan parti untuk terus relevan dan mendapat kepercayaan rakyat.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, Presiden parti turut menegaskan tentang pentingnya UMNO menggariskan hala tuju perjuangan parti dengan lebih jelas dalam usaha memperkukuhkan kemajuan negara, mensejahterakan rakyat dan merealisasikan Malaysia menjadi sebuah negara maju.

''Ini bagi memastikan rakyat dapat menilai dengan jelas perjuangan UMNO dan seterusnya mampu menarik mereka menyokong dasar kerajaan yang ditunjangi parti terbesar orang Melayu itu,'' katanya ketika ditemui selepas taklimat tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dalam taklimat tersebut jelasnya, Najib turut menegaskan, UMNO perlu lebih agresif dalam melakukan transformasi supaya terus diterima oleh rakyat.

Beliau memberitahu, langkah memperkenalkan KPI itu menurut Perdana Menteri bertujuan memastikan jentera di semua peringkat berjalan dengan baik dan sentiasa mendekati serta menyelami masalah rakyat di peringkat akar umbi yang antara lain boleh dilaksanakan menerusi program membantu rakyat (Membara).

''Presiden UMNO itu menegaskan, KPI tersebut perlu bagi mengukur kecekapan kepimpinan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan yang didapati ada antaranya tidak bermesyuarat seperti yang sepatutnya,'' kata Mohd. Puad.

Difahamkan, perincian tentang perkara itu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam esok.

Mohd. Puad berkata, Najib turut menegaskan agenda berterusan UMNO ialah mengukuhkan agenda ekonomi bumiputera yang dilihat masih ketinggalan berbanding kaum lain, mempertahankan Perlembagaan, raja-raja Melayu dan tanah air.

Seorang lagi Ahli MT, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin pula memberitahu, Presiden parti mahu pemimpin dan ahli UMNO mengambil pengajaran daripada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dengan bersiap sedia memperkemaskan jentera parti dan menarik lebih ramai pengundi muda bagi menghadapi PRU akan datang termasuk perlunya menjuarai media sosial.

Beliau berkata, menurut Najib, langkah tersebut perlu memandangkan terdapat kira-kira enam juta pengundi baharu yang boleh menjadi penentu keputusan PRU akan datang, selain kewujudan lebih 15 juta pengguna laman sosial, Facebook yang merupakan lebih 50 peratus daripada penduduk negara ini.

Dalam taklimat lebih sejam kepada kira-kira 2,000 perwakilan yang akan menghadiri perhimpunan tersebut, Najib katanya turut menegaskan komitmen parti keramat Melayu itu dalam memperkasa dan memartabatkan Islam, meskipun digasak oleh golongan tertentu.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.