Saturday, December 7, 2013

#PAU2013: UMNO perlu agresif perjelas dasar dan isu guna media sosial

pilihanraya kini     12:00 PM    


Perhimpunan Agung UMNO 2013, yang sedang berlangsung bukan sahaja diikuti menerusi laporan media cetak dan siaran langsung media elektronik, sebaliknya juga menerusi media baharu dan laman sosial, membolehkan perkembangan terkini parti politik terbesar di Malaysia diketahui lebih pantas. 

Tidak perlu berada secara fizikal di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), venue perhimpunan tahunan Umno, anggota parti dan masyarakat umum boleh mendapatkan maklumat dan hebahan laporan secara on-line dan tepat masa sama ada menerusi Twitter, Facebook, Instagram dan applikasi laman sembang Whatsapp dan WeChat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri ketika melawat Laman Media hari ini meminta pegawai khasnya untuk mendapatkan gambar beliau bagi dimuat naik di laman Facebook Perdana Menteri. Presiden Umno, yang merupakan pemilik akaun Twitter kedua paling aktif di Asia, sering mengemas kini status, berkongsi pandangan serta menghantar 'tweet' apabila berkesempatan, seperti yang dilakukannya ketika melawat pusat pemindahan banjir di Pahang semalam. 

Jelas sekali jaringan laman sosial dan laman sembang ini memberi impak besar dalam menghebah maklumat dan perkembangan mutakhir, sehingga masyarakat khususnya golongan muda kini beralih ke media baharu sebagai bahan pembacaan utama berbanding media konvensional kerana capaiannya lebih mudah, efisien dan tidak renyah. 

Beberapa penganalisis politik melihat pendekatan itu lebih mudah dan signifikan kerana capaiannya boleh sampai ke merata pelosok negara, berbanding pendekatan konvensional bersemuka, yang tidak kurang pentingnya tetapi capaian ruang lingkupnya terhad. 

Jadi, mengapa tidak Umno mengambil pendekatan dengan melipatgandakan usaha serta promosi di media baharu untuk menyerang balas segala fitnah serta menyampaikan agenda kerajaan buat rakyat?

Menekankan betapa Umno perlu menjuarai teknologi maklumat kerana instrumen seperti telefon pintar berupaya menjadi penentu kalah menang pada pilihan raya akan datang, Najib dalam ucapan dasarnya mahu jentera informatif Umno menguasai medium baharu bagi menyampaikan risalah-risalah Umno, mempertahankan dasar-dasar parti dan kerajaan serta melawan segala tuduhan dan fitnah pembangkang.

3 comments :

Anonymous said...

It's time for #lifestyle

Anonymous said...

yeah... #Lifesytle. No politics

Anonymous said...

Kalau nak cakap tentang media sosial. Pemimpin UMNO mestilah menjadi contoh. Ini ada yang tak tahu apa itu Facebook dan lain2.

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.