Thursday, December 19, 2013

PEMUDA UMNO WILAYAH DESAK KERAJAAN TIMBANG SEMULA KENAIKAN TAMBANG LRT, MONOREL

pilihanraya kini     11:32 AM    

Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mendesak supaya kerajaan menimbang semula keputusan menaikkan harga tambang transit aliran ringan (LRT) dan monorel.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata warga Kuala Lumpur yang terlibat secara langsung dengan kenaikan ini begitu terasa kerana mereka juga bakal berhadapan dengan kenaikan cukai pintu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kenaikan tarif elektrik.

Katanya, kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar bahawa kenaikan itu tidak membebankan pengguna adalah sangat janggal.

"Oleh yang demikian, saya mendesak agar Kabinet memikirkan secara mendalam bebanan yang dipikul oleh rakyat apabila ada kenaikan seperti ini. Saya mohon agar tidak ada lagi berita buruk kepada warga Kuala Lumpur terhadap apa sahaja yang melibatkan kos hidup mereka," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Syed Hamid Albar dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa alasan kenaikan tersebut wajar memandangkan sudah 10 tahun tiada kenaikan dilakukan.

Katanya, dalam keadaan sekarang, kerajaan sepatutnya menggalakkan warga kota menggunakan perkhidmatan LRT dan monorel dengan harga tambang yang rendah memandangkan sistem trafik yang seringkali sesak di kawasan Kuala Lumpur.

"Seharusnya ada formula lebih baik menggalakkan rakyat khsususnya warga Kuala Lumpur untuk menggunakan LRT dan monorel. Oleh itu, kami desak untuk tangguh atau lupakan sebentar kenaikan tambang ini demi kepentingan rakyat," katanya.

Sumber : shahalamrebals.blogspot.com

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.