Saturday, December 7, 2013

#Politik: Aminolhuda terajui Pas Johor

pilihanraya kini     4:00 PM    


Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan mengambil alih tugas sebagai Pesuruhjaya Pas Johor, semalam.

Aminolhuda yang sebelum ini Timbalan Pesuruhjaya Pas I Johor menggantikan Datuk Dr Mahfodz Mohamed menggalas tanggungjawab baru pada majlis serah terima tugas di rumah Kelab Wartawan Cina Johor Selatan, di sini.

Aminolhuda berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pas Pusat kerana memilihnya menerajui parti berkenaan pada pemilihan Pas lalu.

“Tahniah dan syabas kepada Dr Mahfodz di atas khidmat beliau selama menjawat jawatan Pesuruhjaya Pas Johor.

“Beliau melakukan perubahan kepada Pas dan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini. Kita berjaya laksana pendekatan Pas For All dengan memilih calon bukan Islam untuk mewakili parti pada PRU13 lalu,” katanya, semalam.

Aminolhuda berkata, bekas Pesuruhjaya Pas Johor itu juga berjaya mengambil pendekatan bagi membuktikan Pas bukan satu parti yang ekstremis.

Sementara itu, Mahfodz berkata, terdapat empat sebab mengapa beliau enggan dilantik semula sebagai Pesuruhjaya Pas Johor pada pemilihan parti lalu.

Sebab diberikan adalah faktor terlalu lama memegang jawatan berkenaan; mahu memberi peluang kepada pemimpin lain; usia yang semakin lanjut dan kesihatannya.

“Terima kasih kepada Presiden Pas dan pucuk pimpinan kerana beri peluang kepada saya menerajui parti di Johor sejak 2005 hingga kini.

“Tahniah kepada Aminolhuda kerana dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Johor yang baharu. Pemilihannya sangat tepat.

“Saya percaya beliau mampu jalankan tanggungjawab dengan lebih baik dan cemerlang berdasarkan pengalamannya dalam Pas,” katanya.

Mengulas lanjut kepimpinannya sepanjang menerajui Pas Johor, Mahfodz mengakui berpuas hati dengan apa yang sudah dilakukannya sehingga dapat memecah tembok Umno-BN.

“Daripada tiada kerusi Pas di Johor, kini kita sudah ada empat kerusi dimenangi. Malah kita mempunyai lapan kerusi Dun yang cerah untuk dimenangi.

“Ia menggambarkan pimpinan Pas sekarang dapat menambah jumlah kerusi pada PRU14 menerusi kerjasama dengan parti lain dalam PR,” katanya.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.