Tuesday, January 28, 2014

DUN Kajang kosong, beri laluan pada Anwar jadi MB

pilihanraya kini     9:30 AM    


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang dari PKR, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusinya bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan menjadi Menteri Besar Selangor yang baru jika menang.

Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh dalam sidang media tergemparnya mengumumkan sudah menerima surat perletakan jawatan daripada Lee sebentar tadi.

"Ini selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor Perkara 68 bahawa seseorang ahli dewan negeri boleh melepaskan keahliannya melalui surat di bawah tanda tangannya dan ditujukan kepada Speaker.

"Selaras dengan Fasal 5 Perkara 70 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh kekosongan itu berlaku dan saya akan memaklumkan secara bertulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya esok," katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu Hannah enggan mengulas mengenai desas-desus peletakan jawatan Lee ini ada kaitan dengan Anwar yang mahu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

"Saya tidak mahu komen perkara ini kerana ini adalah khabar angin. Saya tak mahu komen berkenaan khabar angin. 

"Saya tak nak komen mengenai calon kerana posisi saya di sini bukanlah untuk komen mengenai calon. Apa yang boleh saya katakan, hari ini kerusi N25 (Kajang) telah dikosongkan dan kerusi itu milik PKR ,"katanya. 

Selain nama Anwar, menurut sumber PKR nama Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli juga disebut-sebut untuk dicalonkan sebagai ADUN kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Ahli Exco Negeri, Iskandar Samad mengesahkan Anwar akan bertanding kerusi DUN Kajang.

Beliau berkata demikian melalui pesanan khidmat ringkasnya, yang dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

Lee memenangi kerusi Kajang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu dengan mendapat majoriti 6,824 undi.

Beliau yang memperoleh 19,571 undi menewaskan calon BN Lee Ban Seng yang mendapat 12,747 undi sementara empat calon lain hilang deposit. 

DUN Kajang mempunyai 38,965 pengundi dengan 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan India sebanyak 10 peratus.

Terdahulu Ketua Pembangkang dijangka menjadi Menteri Besar Selangor baru menggantikan Khalid yang bersetuju untuk meletakkan jawatan, lapor The Star Online hari ini.

Khalid dipercayai akan mengumumkan keputusannya Rabu ini dan perbincangan dalam PKR kini bertumpu untuk mengatur pilihanraya kecil peringkat DUN bagi membolehkan Anwar dinobat sebagai MB.

Difahamkan DAP dan PAS – sekutu PKR dalam Pakatan Rakyat - sudah bersetuju dengan keputusan Anwar untuk menggugurkan Khalid selepas pertikaian berpanjangan beliau dengan pemimpin-pemimpin PKR negeri terutama sekali Azmin Ali.

Khalid, yang mendapat kecaman hebat daripada partinya berikutan kegagalannya mengendalikan isu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan mengikat perjanjian dengan Putrajaya untuk pensturukturan semula industri air negeri itu, bersetuju melepaskan jawatannya selepas pertemuan dengan Anwar semalam.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.