Wednesday, January 29, 2014

Kadir Jasin dedah kenapa Anwar mahu jadi MB

pilihanraya kini     9:08 AM    


Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Datuk A Kadir Jasin menyifatkan pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi DUN Kajang sebagai pengakuan kalah Ketua Pembangkang kerana gagal menjadi Perdana Menteri.

Ujar beliau peletakan jawatan daripada ADUN Kajang Lee Chin Cheh ini, dilihat sebagai tiket untuk beliau dicalonkan sebagai Menteri Besar baru Selangor.

"Beliau pasti dituduh oleh musuhnya sebagai mengaku kalah dan tidak yakin lagi boleh menjadi PM.

"Anwar membuat pengorbanan besar kerana matlamat beliau selama ini, bermula dengan penyertaannya dalam Umno pada 1982 adalah menjadi perdana menteri," tulis Kadir dalam blognya hari ini.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengesahkan perkara itu dan beliau dijangka berundur untuk memberi laluan kepada Anwar mengambil alih jawatan itu.

Kerusi Kajang dikosongkan oleh penyandangnya Lee Chin Cheh semalam.

DUN itu dianggap kubu kuat PKR dengan Lee memperolehi majoriti hampir tujuh ribu undi walaupun menghadapi saingan enam penjuru pada pilihan raya umum lalu.

Menurut Akta Pilihan Raya PRK Kajang mesti berlangsung dalam tempoh 60 hari dari tarikh pengosongan kerusi itu.

Tambah Kadir, pemilihan Anwar sebagai calon kerusi tersebut bakal mengundang kontroversi, apabila beliau bukan anak tempatan kawasan tersebut. 

"Antaranya ialah beliau bukan kelahiran Selangor dan usianya (66 tahun) adalah agak lanjut bagi seorang MB.

"Akhirnya Anwar terpaksa mengaku bahawa krisis kepimpinan kerajaan Selangor yang berpunca daripada perebutan kuasa antara Abdul Khalid dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, sudah sampai ke peringkat hidup mati," katanya.

Ujarnya lagi krisis yang melanda Pakatan Rakyat (Pakatan) di Selangor bimbang akan menjejaskan sokongan rakyat apabila melihat PKR gagal menangani masalah yang berlaku antara Khalid dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

"Krisis itu mungkin tidak meruntuhkan kerajaan Pakatan Selangor, tetapi akan melemahkannya.

"Ia akan melemahkan kedudukan PKR sebagai perantara Pakatan dan menyebabkan DAP dan PAS memikirkan semula pergantungan mereka kepada PKR sebagai perunding.

"Bagi Anwar pula, sekiranya beliau mengambil langkah luar biasa itu, matlamatnya tentulah bagi menyelamatkan kerajaan PR Selangor dan menyekat perebutan kuasa antara Abdul Khalid dan Azmin di Selangor daripada merebak ke peringkat nasional," tambah beliau. - Antarapos


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.