Friday, January 24, 2014

Polis Sepang lancar 'Op Vulture'

pilihanraya kini     9:30 AM    


Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang akan menggerakkan Op Vulture setiap bulan bagi memastikan aktiviti ah long dibanteras dan iklan-iklan mereka diturunkan.

Pegawai Perisikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPD Sepang, Inspektor Mohd. Shahrizal Azhari berkata, antara kawasan tumpuan operasi ialah Putra Perdana yang terletak berhampiran dengan Puchong dan Cyberjaya.

''Putra Perdana telah menjadi kawasan tumpuan ah long dengan iklan-iklan ceti haram kelihatan di merata-rata tempat.

''Mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan ah long boleh diambil tindakan mengikut Seksyen (5) (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.

''Tindakan juga boleh dikenakan mengikut Seksyen 29A (A) yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-dua sekali," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi membanteras dan menurunkan poster ah long di Putra Perdana, dekat sini hari ini.

Kira-kira 25 pegawai dan anggota polis serta Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) telah menyertai operasi itu dan berjaya menanggalkan ratusan iklan haram termasuk iklan ah long.

Dalam pada itu, Pengarah Penguatkuasaan MPSp, Mohd. Azran Musa berkata, pihaknya berjaya menanggalkan lebih 850 iklan haram sejak 1 Januari lalu.

''Kami mendapati mereka menggunakan tangga untuk menampal iklan di tempat tinggi bagi mengelakkan pihak berkuasa menanggalkan iklan haram berkenaan," katanya.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.