Tuesday, January 28, 2014

Sandiwara Anwar mirip skrip 1992

pilihanraya kini     3:30 PM    


“Anwar tidak akan cabar Ghaffar”. Itu antara tajuk utama akhbar Utusan Malaysia sekitar tahun 1992 memetik kenyataan Naib Presiden UMNO, Anwar Ibrahim yang menafikan spekulasi beliau akan mencabar Ghaffar Baba yang ketika itu merupakan Timbalan Presiden.

Anwar juga dipetik berkata bahawa beliau tidak tergamak menentang Ghaffar yang dianggapnya seperti bapa sendiri – kenyataan yang mendapat liputan meluas media sekaligus mematikan spekulasi yang bertiup kencang ketika itu.

Namun, tidak lama selepas itu, Anwar yang memegang jawatan Menteri Kewangan menerima pencalonan terbanyak bagi jawatan Timbalan Presiden sekaligus ‘menendang’ keluar Ghaffar dari hierarki kepimpinan UMNO – antara peristiwa pengkhianatan politik paling diingati dalam sejarah UMNO. Anwar memberi alasan terpaksa bertanding kerana gagal menghalang desakan akar umbi yang mahu beliau berbuat demikian.

Siapa boleh lupa perisitiwa 16 September 2008, hari yang Anwar hebohkan seantero dunia beliau akan menjadi Perdana Menteri kerana kononnya sejumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional akan melompat parti menyertai pembangkang. Akhirnya, 16 September hanyalah satu tarikh yang berlalu begitu sahaja.

Beberapa hari sebelum pilihan raya umum lalu, Anwar dalam setiap ceramah dengan penuh beremosi memberitahu rakyat bahawa beliau akan berundur dari politik dan kembali menjadi pensyarah sepenuh masa seandainya Pakatan Rakyat, gabungan parti pembangkang yang diterajuinya gagal merampas Putrajaya.

Anwar dan sekutunya gagal menakhluk Putrajaya, namun beliau bukan sahaja tidak berundur, malah semakin hebat mencatur strategi. Malah, selepas gagal menjadi Perdana Menteri, satu Malaysia hari ini mendengar perkhabaran bahawa Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mungkin dinobat sebagai Menteri Besar di Selangor! – satu-satunya negeri yang dikuasai partinya.

Semalam Anwar dilaporkan menafikan dengan keras spekulasi beliau akan menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar dengan mengisi kerusi DUN Kajang yang kosong setelah ADUN PKR, Lee Chin Cheh secara tiba-tiba meletak jawatan tanpa sebab semalam.

Namun, ketika ramalan-ramalan bertiup kencang, Anwar yang dikenali sebagai ‘spin master’, hari ini diumumkan sebagai calon untuk bertanding di DUN Kajang – pengumuman yang mengundang kritikan hebat bukan sahaja dari musuh politik, malah penganalisis yang melihatnya sebagai satu hipokrasi yang amat nyata.

Alasan Anwar ialah beliau tidak ada pilihan untuk bertanding selepas menerima konsensus dari ketiga-tiga parti komponen pembangkang – alasan dari skrip sama yang digunakannya 22 tahun lalu ketika mengetepikan Ghaffar Baba.

Perkembangan itu menguatkan lagi spekulasi Anwar akan mengisi kerusi Menteri Besar Selangor jika memenangi pilihan raya kecil itu kelak.

Untuk rekod, Anwar kembali ke persada politik selepas dibebaskan dari penjara dengan mengisi kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dikosongkan secara sengaja oleh isternya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 2008.

Persoalannya, apakah ini satu lagi permainan politik yang dicatur Anwar? Adakah perseteruan politik antara Abdul Khalid dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hanya satu sandiwara untuk menjayakan percaturan beliau kali ini?

Seperkara lagi, bolehkah Anwar yang bukan anak kelahiran Selangor menjawat jawatan itu memandangkan Undang-undang Tubuh Negeri hanya mengizinkan hanya anak jati Selangor boleh menjadi Menteri Besar? Jika itu benar, kerajaan PKR Selangor mempunyai kekuatan dua pertiga dan berupaya mengubah perlembagaan negeri dengan syarat menerima perkenan istana.

Jika usul meminda perlembagaan itu dilakukan ia memerlukan campur tangan istana, apakah akan berlaku jika ia tidak mendapat perkenan Sultan Selangor? Apakah krisis politik yang pernah berlaku di Perak pada 2009 akan berulang di Selangor?

Jika diperkenan dan Anwar menang sekaligus menjadi Menteri Besar, wujud bayangan betapa Anwar akan mempunyai lebih akses dengan kerajaan Persekutuan, malah berpeluang lebih kerap bertemu dengan Perdana Menteri. Kalau itu berlaku, apa perancangan Anwar seterusnya?

Apapun, pilihan raya kecil terancang ini bermakna rakyat khususnya di Selangor akan sekali lagi diheret dalam kancah politik ciptaan politikus seperti Anwar – pemimpin yang sarat dengan kontroversi dan watak tipu daya berpolitik. Kalau pada 2009 percaturan Anwar berjaya mengembalikannya ke persada politik, apa pula tindakannya kali ini? Apa sandiwara politik beliau kali ini?

Paling tidak, Anwar berjaya mengembalikan namanya di arus perdana yang agak tenggelam selepas pilihan raya umum lalu. Strateginya setakat ini tampak berjaya, bak kata seorang kawan memetik dan mengolah dialog dalam filem Seniman Bujang Lapok: “Tak dapat jadi PM tak apalah, dapat jadi MB pun jadilah.”



Selanjutnya, baca [di sini]

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.