Tuesday, January 21, 2014

Selangor kian tenat! Siapa benar, siapa bohong?

pilihanraya kini     2:00 PM    


iapa yang bercakap benar dan siapa pula yang berbohong? Adakah benar dakwaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa beliau dan barisan Exco Selangor tidak tahu menahu mengenai pengguguran Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)?

Sehubungan itu adakah benar dakwaan beliau bahawa yang “memandai-mandai” memutuskan bahawa Azmin patut digugurkan dari lembaga pengarah Perbadanan itu ialah Pengurus Besarnya, Haji Othman Omar?


Atau, adakah sebaliknya benar kenyataan Setiausaha PKNS, Hajah Norita Mohd Sidek bahawa pihak pengurusan PKNS hanya mengeluarkan surat pengguguran itu kepada Azmin sebagai mematuhi keputusan Exco yang dibuat pada 13 November tahun lalu dan disahkan oleh jawatankuasa pembuat dasar Selangor itu pada 4 Disember lalu?

Persoalan ini amat wajar dileraikan kerana isu ini membabitkan soal maruah dan ketelusan serta perwatakan sebenar baik pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor mahupun wibawa serta maruah pengurusan PKNS.

Isu ini membabitkan kepentingan rakyat untuk tahu dan memutuskan siapakah yang bercakap benar, dan siapa pula patut dipercayai dalam menguruskan kepentingan mereka dalam kerajaan negeri Selangor dan PKNS.

Apa natijah exco beragama Islam tidak bercakap benar ?

Rasanya tidak perlulah setiap ahli Exco Selangor diwajibkan menjalani ujian “bersaksi benar” (lie detector). Mereka hanya perlu mengesahkan ada atau tidak berbincang dan memutuskan untuk menggugurkan Azmin daripada lembaga pengarah PKNS.

Mereka tidak perlu khuatir untuk menyanggah kata Menteri Besar yang mengatakan exco tidak pernah membincangkan isu Azmin untuk menjaga air muka dan hati Khalid. Seharusnya mereka lebih malu dan takut dimakan sumpah jika menyalahi ikrar ketika dilantik menjadi ahli exco negeri.

Perkara ini menjadi lebih penting kerana setiap ahli exco yang beragama Islam – Khalid Ibrahim, Dr Daroyah Alwi, Rodziah Ismail, Iskandar Abdul Samad, Dr Halimah Ali, Dr Ahmad 


Yunus dan Salehin Mukhyi, telah bersumpah untuk bersikap benar atas nama Allah ketika menerima pelantikan exco. 

Sementara exco bukan muslim – Teng Chang Kim, Yong Hian Hwa, Ganapathirao dan Elizabeth Wong juga telah melafazkan sumpah akan melaksanakan tugas pembuat dasar dan keputusan pemerintahan di Selangor dengan adil dan benar.

Apakah sukar sangat bagi ahli-ahli exco beragama Islam dan sudah berjanji dengan nama Allah untuk bersikap benar dan adil untuk mengaku atau menafikan ada berbincang dan kemudian mengesahkan pengguguran Azmin daripada lembaga pengarah PKNS?

Rasanya tidak perlu menunggu hingga dua minggu untuk menjalankan siasatan atau memanggil Haji Othman Omar atau Hajah Norita untuk memperjelaskan bagaimana pengguguran Azmin itu boleh berlaku. 

Jika kesemua ketujuh-tujuh ahli exco muslim, termasuk Khalid, berani mengumumkan pendirian memang mereka tidak pernah berbincang apatah lagi memperakukan keputusan memecat Azmin daripada PKNS, barulah wajar wibawa Haji Othman dan Hajah Norita dipersoalkan.

Tidak perlulah isu ini diperpanjang dan mengelirukan rakyat. Ia juga tidak perlu dijadikan satu polemik politik yang membuang masa dan meruncingkan rasa hasad dengki dan dendam politik sesama rakan seperjuangan. 

Sehubungan itu, haruslah dicari jawapan adakah wajar bagi Tan Sri Abdul Khalid pula mengumumkan bahawa kenyataannya tidak terbabit dengan keputusan menggugurkan Azmin itu adalah satu kebenaran sehingga mendapat perakuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau “bersih” daripada sebarang “penganiayaan” terhadap Azmin lantas akan dikekalkan sebagai Menteri Besar?

Kenapa Khalid Ibrahim cetuskan polimik ini sekarang ?

Soalnya, perlukan isu kedudukan beliau sebagai menteri besar ditimbulkan di peringkat ini? 

Adakah beliau ingin memberi gambaran bahawa ada pihak mahu menggunakan isu ini untuk menjatuhkannya dari kerusi menteri besar? Atau, ini sekadar satu igauannya?

Dalam soal ini Anwar Ibrahim pula perlu menjalani proses “lie-detector” sosial dengan mengaku atau menafikan ada memberi perakuan kepada Abdul Khalid bahawa beliau akan kekal sebagai Menteri Besar Selangor!


Tindakan Khalid ini agak pelik kerana ia dibuat sebelum beliau memanggil Pengurus Besar dan Setiausaha PKNS untuk memberi penjelasan berhubung isu pengguguran Azmin. Adakah ini bermakna beliau mahu membisikkan pada naluri dan persepsi umum bahawa apapun duduk perkara sebenarnya Anwar tetap akan menyokongnya?

Mengapa Khalid begitu panik? Mengapa belum pun bersemuka dengan Haji Othman dan Hajah Norita kedua-dua kakitangan awam itu sudah dilucutkan tugas mereka di PKNS dan diletakkan di bawah pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri? Mengapa hukuman dijatuhkan sebelum perbicaraan?

Yang ini Anwar Ibrahim perlu huraikan. Mengaku atau menafi bukan hak Anwar sebenarnya. Itu adalah hak umum dan rakyat tidak perlu dikelirukan dengan retorik atau alasan politik. Ini kerana hakikatnya Anwar sendiri telah mengumumkan bahawa pengguguran Azmin itu tidak sah.

Ketua Pembangkang itu berhujah bahawa pihak pengurusan PKNS tiada hak atau kuasa untuk menggugurkan mana-mana ahli lembaga pengarah. Lantas beliau mahu kedudukan Azmin dalam PKNS kekal.

Anwar beri jaminan keadilan pada Azmin tetapi beri signal tidak akan 'sentuh' Khalid

Jika demikian tegas pendirian Anwar di mana logiknya dakwaan Abdul Khalid bahawa Anwar telah memberi jaminan peribadi atas kapasitinya sebagai Ketua Umum PKR bahawa kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar tidak akan terjejas? Yang pasti reputasi PKR terjejas kerana pembohongan itu.

Di peringkat ini kewibawaan dan cakap benar Anwar amat ditagih supaya keadaan tidak bertambah kusut. Baru Anwar menyatakan pendirian bahawa beliau mahu kedudukan Azmin dalam lembaga pengarah dikekalkan, Abdul Khalid telah mendedahkan bahawa Anwar juga telah memberi jaminan kepadanya tidak “mengusik” kedudukan beliau sebagai Menteri Besar.

Keikhlasan dan ketegasan Anwar perlu bagi meleraikan keadaan ini. Jika tidak ia akan mencerminkan seolah-olah Anwar ini ialah “talam dua muka”. Di hadapan khalayak ramai beliau mempertahankan kedudukan Azmin atas dasar teknikal tetapi kepada Khalid beliau membuat janji lain.

Mungkin soal pengakuan sama ada exco ada membincang dan memutuskan pengguguran Azmin ini perlu dipelopori oleh Iskandar Abdul Samad, Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus dan Salehin Mukhyi. 

Keempat-empat exco yang mewakili PAS ini sewajar mengenepikan soal politik dan mengutamakan kebenaran. 

Bukankah mereka ini pemimpin parti Islam? Syaksiah dan ketulusan jatidiri muslim dan muslimah amat dituntut daripada mereka.

Ini perlu diikuti oleh pengakuan Anwar Ibrahim sama ada beliau ada “berjanji” dengan Abdul Khalid untuk “melindungi” kerusi Menteri Besar untuk Khalid. Seharusnya diingat bahawa rakyat adalah peranti ujian kesaksian terbaik dalam kes ini.

Ini soal jatidiri dan kewibawaan ahli siasah terutama dari PKR. Janganlah berbohong menjadi jenama parti yang sejak 15 tahun lalu melaungkan reformasi politik dan ketelusan.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.