Thursday, January 23, 2014

Shuhaimi tuduh Guan Eng tidak bertanggungjawab

pilihanraya kini     11:30 AM    


Kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mahukan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan sendiri kontroversi ADUN Machang Bubuk menghina Perdana Menteri, mencetuskan rasa kurang senang Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie.

Beliau menyifatkan kenyataan Lim sebagai tidak bertanggungjawab memandangkan PKR dan PAS sebelum ini sentiasa mempertahan DAP dan turut menerima tempias jika rakan komponennya diserang seteru politik mereka. 

Lee Khai Loon sebelum ini menyertai demonstrasi flash mob di Bukit Mertajam dan telah menyumbat seberkas kangkung ke dalam mulut sebuah patung yang menyerupai Datuk Seri Najib Razak sebagai tanda protes harga barangan semakin naik.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dikritik banyak pihak memandangkan Lee adalah seorang ADUN.

"Saya melihat hal itu sebagai satu pandangan dari DAP yang tidak bertanggungjawab dari seorang pimpinan utama DAP. Kerana apa jua perkara yang berlaku di dalam Pakatan Rakyat, sama ada ia disuarakan oleh wakil rakyat dari PAS, PKR atau DAP, ia memberi kesan tak langsung kepada kita dalam Pakatan. 

"Kalau nak diikutkan kenyataan Guan Eng, ia boleh dipertikaikan memandangkan banyak kenyataan yang juga dimulakan oleh DAP yang kita terima kesannya.

"Kalau itulah kata Guan Eng, saya pun nak katakan perkara yang sama. Selesaikan... Banyak isu-isu yang dicetuskan oleh DAP yang seharusnya diselesaikan oleh mereka. Tapi kita tak berkata demikian. Sebaliknya kita duduk berbincang dan mencari penyelesaian jangka masa pendek dan panjang supaya isu tersebut tidak dipolitikkan oleh musuh-musuh kita," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Lim ketika diminta mengulas isu itu berkata kerajaan DAP Pulau Pinang tiada kena mengena dengan perkara itu dan parti itu tidak sepatutnya diseret dalam kemelut terbabit.

"Saya tidak perlu memberi penjelasan walaupun Khai Loon merupakan ADUN di negeri ini. Beliau ahli PKR dan bukan DAP.

"Dalam isu ini, Anwar yang harus selesaikan kerana program yang berlangsung di Bukit Mertajam Rabu minggu lalu dianjurkan oleh PKR," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Shuhaimi berkata DAP sebelum ini mencetuskan kemarahan rakyat beragama Islam apabila menggesa kerajaan persekutuan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam semua Bible Bahasa Melayu sepertimana di Sabah dan Sarawak.

"Kalimah Allah dimulakan dan dicetuskan oleh DAP. Akhirnya kita terpaksa menanggung beban daripada perkataan yang dikeluarkan oleh pimpinan DAP. Kita terpaksa menjawab.

Malah baru-baru ini tiga ADUN DAP, Lau Weng San (Kampung Tunku), Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing) dan Yeo Vee Yin (Damansara Utama) turut mencadangkan pindaan terhadap Enakmen Ugama Bukan Islam 1988 di negeri ini selepas berlakunya rampasan lebih 300 Bible Bahasa Melayu dan Iban, awal bulan ini.

"Di Selangor, apabila berlaku ADUN minta tukar enakmen, kita menegur. Walaupun kita rakan PR dari parti berbeza, kita menegur kerana menjadi tanggungjawab memberitahu bahawa ia tindakan yang gopoh. Sebab kepantasan kita dalam kegopohan itu akan membawa kepada keadaan lebih teruk dan buruk," jelasnya lagi.

Sehubungan itu menurut Shuhaimi, pendekatan perbincangan perlu diambil oleh Lim dan bukannya menuding jari kepada rakan komponen yang lain.

"Lebih elok sekiranya Ketua Menteri panggil ADUN negeri mereka sendiri. Menteri Besar atau Ketua Menteri boleh panggil berbincang untuk selesaikan masalah, supaya ia tidak diambil kesempatan oleh musuh-musuh politik, sekaligus menghasut perpecahan di kalangan PR," katanya.



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.