Thursday, January 23, 2014

Thailand diisytihar darurat

pilihanraya kini     8:30 AM    


Thailand semalam mengisytiharkan darurat selama 60 hari di Bangkok dan kawasan sekitarnya bagi menangani demonstrasi yang mahu menggulingkan kerajaan.

“Kabinet memutuskan untuk mengisytiharkan perintah darurat untuk mengawal situasi dan menguatkuasakan undang-undang,” kata Timbalan Perdana Menteri Surapong Tovichakchaikul sambil menegaskan bahawa tindakan penunjuk perasaan telah menghalang kakitangan untuk pergi bertugas. 

Perintah darurat itu berkuat kuasa hari ini. Tindakan itu diambil ekoran perhimpunan besar-besaran yang berminggu-minggu di bandaraya yang menyebabkan berlakunya beberapa kejadian keganasan, termasuk serangan bom tangan dan tembakan.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berdepan tekanan kuat daripada penunjuk perasaan untuk meletak jawatan selepas lebih dua bulan demonstrasi untuk menggulingkan kerajaannya dan menggantikannya dengan pelantikan “majlis rakyat”. 

Yingluck mahu mengadakan pilihan raya pada Februari tetapi parti pembangkang utama mahu memulaukannya. Penunjuk perasaan mahu mengganggu pilihan raya itu dan di beberapa wilayah di selatan mereka telah menghalang bakal calon daripada daripada mendaftarkan diri. 

Penunjuk perasaan telah melancarkan “penutupan” Bangkok sejak 13 Januari dengan mengadakan sekatan jalan raya dan perhimpunan di beberapa laluan utama jalan raya meskipun bilangan penunjuk perasaan telah berkurangan sejak pertengahan minggu lalu. 

Dua belas orang cedera dan seorang terbunuh dalam serangan bom tangan yang dilempar oleh orang yang tidak dikenali ke arah penunjuk perasaan pada Jumaat dan Sabtu. Insiden itu membangkitkan kebimbangan kemungkinan wujud kekecohan pada pilihan raya bulan depan. 

Menteri Buruh Chalerm Yubamrung, yang akan memantau pelaksanaan perintah berkurang itu berkata, Thailand akan mematuhi standard antarabangsa. 

“Kami tidak akan menggunakan kekerasan. Kami tidak ada dasar untuk untuk menyuraikannya (penunjuk perasaan),” katanya. 

Thailand sudah beberapa kali berdepan persengketaan politik dan pertumpahan darah sejak bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, abang Yingluck digulingkan oleh tentera tujuh tahun lalu. 

Protes terbaru adalah ekoran rang undang-undang pengampunan yang akan membolehkan Thaksin pulang ke negaranya tanpa perlu dipenjarakan kerana kesalahan rasuah lampau. Bagaimanapun ia tidak diluluskan. 

Penunjuk perasaan menuduh Thaksin menguasai pentadbiran adiknya itu dari tempatnya di Dubai. 

Thaksin mempunyai sokongan kuat di utara Thailand, tetapi tidak disukai oleh kebanyakan rakyat di selatan serta penduduk kelas menengah di Bangkok.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.