Tuesday, January 7, 2014

Tiga Adun PR Mahu Pinda Enakmen 1988 Cetus Sensitiviti Orang Islam

asyraf ringo     1:39 PM    


Cadangan supaya Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988 dipinda tidak wajar disokong dan perlu ditolak khususnya wakil rakyat Islam di negeri itu.

Perkara tersebut ditegaskan beberapa aktivis Islam yang mahu semua pihak tidak terpengaruh dengan cadangan berkenaan yang dilihat mempunyai agenda tersembunyi.

Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahya berkata, cadangan itu jelas sebagai satu lagi siri pendekatan atau strategi baharu untuk menekan kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Cadangan pindaan ini tentu ada strategi-strategi tertentu di belakangnya. Implikasinya, kuasa mereka nak sebarkan agama lain tidak boleh disekat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan JAIS tiada kuasa untuk campur tangan.

"Mereka sepatutnya tak menyentuh soal sensitif seperti ini yang boleh membuatkan orang Islam bertambah marah. Kalau mereka bertindak, kita juga akan bertindak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kenyataan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang mengemukakan cadangan supaya enakmen berkenaan dipinda.

Ini susulan tindakan JAIS merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya, semalam.

Malah mereka turut menyifatkan tindakan JAIS itu sebagai kasar dan mahu Subseksyen 9 Enakmen 1988 itu dikaji semula.

Aminuddin berkata, orang bukan Islam seharusnya menghormati kedudukan Islam dan tidak menyentuh soal-soal sensitif seperti itu yang akhirnya menambah api kemarahan umat Islam.

"Perkara sebegini akan kita terangkan kepada pelbagai pihak termasuk tuntutan yang diperjuangkan oleh Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).

"Ini isu besar kerana ada perancangan licik di belakangnya, sebab mereka pergi sehingga ke badan dunia dan masyarakat antarabangsa," jelasnya.

Sementara itu Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman memberitahu, pihaknya akan bertindak menentang habis-habisan usaha berkenaan.

"Kalau berani kita cabar mereka pinda, kerana kita juga akan bertindak menentang. Cadangan pindaan ini sebenarnya ada agenda untuk memperkukuhkan kedudukan-kedudukan tertentu," ujarnya.

Mengulas isu sama, Perunding Undang-Undang Syariah, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain menyifatkan tindakan sedemikian sebagai 'buta undang-undang' dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Tegas beliau, implikasi daripada pindaan tersebut cukup besar dan akan menyebabkan berlaku perlanggaran yang serius terhadap Perlembagaan Persekutuan.

"Enakmen itu memang tidak boleh dipinda, dan kalau dipinda, akan bercanggah dengan Perlembagaan selain mengancam ketenteraman awam.

"Kalau menyentuh mengenai fungsi JAIS, jabatan itu telah diberikan kuasa oleh negeri berdasarkan kepada Perkara 3 dan Perkara 11 (4), Perlembagaan Persekutuan. Jadi, apa yang dilakukan oleh JAIS adalah dalam ruang lingkup yang diberikan pihak berkuasa negeri berdasarkan Perlembagaan," tegas beliau. - Utusan

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.