Monday, January 27, 2014

Timbalan Menteri tunjuk sifat terpuji

pilihanraya kini     9:17 AM    


Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan telah memaafkan seorang anggota Pemuda Umno Hulu Selangor yang menumbuknya di pejabat wakil rakyat itu di Hulu Selangor, dua minggu lepas.

Ahli Parlimen Hulu Selangor itu berkata insiden itu merupakan isu peribadi antara beliau dengan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Hulu Selangor,
Muhammad Rizuan Suhaimi.

Beliau berkata apa yang berlaku adalah satu tindakan emosi yang tidak disengajakan.

"Manusia tidak terlepas daripada kesilapan dan tiada sebab untuk saya terus berasa kecewa dengan kejadian ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Rizuan dikatakan kecewa dengan timbalan menteri itu yang tidak membantu isterinya yang mengajar di sebuah sekolah di Batu Pahat supaya ditukarkan ke Selangor.

Bagaimanapun, Kamalanathan menegaskan insiden itu bukan isu politik tetapi berkaitan dengan permohonan pertukaran di bawah Kementerian Pendidikan.

"Saya sudah menjelaskan proses permohonan pertukaran kepadanya dan memaklumkan bahawa pegawai kementerian akan mempertimbangkan setiap permohonan mengikut merit.

"Saya tidak campur tangan dalam soal pentadbiran mana-mana jabatan. Saya ada mengeluarkan surat sokongan untuk rayuan berdasarkan faktor belas kasihan atau perikemanusiaan," katanya.

Kamalanathan juga berkata beliau tidak akan campur tangan dengan siasatan polis berhubung kejadian itu. - Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.