Tuesday, January 28, 2014

Yuktes umum lawan Anwar di Kajang

pilihanraya kini     4:30 PM    


Tidak sampai setengah jam selepas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan untuk bertanding di kerusi N25 Pilihan raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang, Pengasas Take The Lead, Yuktes Vijay mengumumkan hasrat untuk mencabar beliau.

Anak muda berusia 25 tahun itu tidak gentar untuk bertanding dengan calon yang lebih berpengalaman dan berpengaruh itu. Ini kerana apa yang penting bagi Yuktes adalah memberi keadilan kepada rakyat.

“Apa yang berlaku sekarang adalah perebutan kuasa dalam parti yang menggunakan duit rakyat.

“Pilihan raya kecil ini menggunakan duit rakyat, duit saya! Ini tidak masuk akal, saya mahu gunakan duit tersebut dikembalikan kepada rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Jelas Yuktes, beliau yakin akan kalah malah mungkin hilang wang pertaruhan semasa PRK tersebut namun apa yang penting adalah mencabar Anwar yang juga pernah menjadi bossnya dahulu.

“Jika saya kalah pun tidak mengapa, itu memang sudah dijangka tetapi jika Anwar menang tetapi majoritinya menyusut walaupun hanya dengan satu undi, itu adalah sesuatu yang paling memalukan beliau,” katanya lagi.

Bersandarkan manifesto yang ringkas iaitu ‘Wakil rakyat yang telah dipilih perlu menunaikan manifesto Pilihan raya Umum (PRU) ke-12 dan ke-13’, Yuktes akan mula berkempen dengan pergi ke kawasan-kawasan bermasalah di DUN Kajang.

Katanya, pelbagai janji yang telah ditabur semasa PRU-PRU yang lepas namum Kajang masih dibelenggu oleh pelbagai masalah antaranya jalanraya berlubang serta tiada pembelaan terhadap pemilik-pemilik gerai makanan yang telah dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Kajang.

DUN Kajang sebelum ini diwakili oleh Lee Chin Cheh yang memperolehi 19,571 undi dengan majoriti 6,824 dalam pertandingan enam penjuru. - Malaysiagazette


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.