Tuesday, February 25, 2014

17 suspek ditahan kes tembak di Sabah

pilihanraya kini     4:08 PM    


Sebanyak 17 suspek sudah ditahan berhubung kes menembak premis di sekitar bandar raya ini serta Penampang bulan lalu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Beliau berkata kebanyakan mereka adalah rakyat tempatan yang berumur antara 20 hingga 50 tahun yang ditahan di pelbagai lokasi di seluruh Sabah dari 27 Januari hingga 17 Februari lalu.

Bagaimanapun enam daripada suspek yang diberkas melalui 'Ops Cermin' itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Setakat ini kita telah menerima 50 laporan, jadi kita membuka 50 kertas siasatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini Selasa.

Dinding dan pintu kaca 46 premis seperti bank, salun dan premis makanan segera dilapor ditembak pada malam 10 Januari lalu.

Hamza berkata turut dirampas ialah beberapa laras senjata dan kenderaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 32 Akta Senjata Api 1960.

"Kita akan terus cari bukti. Kita tahu siapa yang terlibat, namun kita masih mengumpulkan bukti. Kita tahu tidak mudah untuk mencari bukti, sekarang kita sedang menunggu penggazetan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013," katanya.

Mengulas mengenai pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang, Ahmad Raffli Abdul Malek, beliau berkata tiga suspek yang diberkas baru-baru ini di sebuah rumah di Papar, telah tinggal di Sabah sejak beberapa bulan lalu.

Katanya dua daripada suspek berasal dari Johor dan seorang lagi dari Kelantan dan mereka datang ke Sabah kerana melarikan diri. - Antarapos


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.