Monday, February 17, 2014

Anwar boleh tersungkur di Kajang

pilihanraya kini     9:30 AM    


Protes dalaman oleh pengundi PR di Dun Kajang secara besar-besaran berkemungkinan menjadi faktor utama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tewas pada PRK itu nanti.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, sabotaj dalaman parti terutamanya pengundi Pas dilihat boleh menumbangkan Anwar kerana mungkin isu ini dilihat pengundi sebagai perjuangan peribadi semata-mata.

Menurutnya, isu ini dilihat sebagai masalah dalaman parti yang masih berterusan dan belum menemui jalan penyelesaian.

“Pada masa yang sama, Pas juga telah menyatakan sokongan hanya untuk beliau bertanding Dun Kajang, bukannya sebagai menteri besar.

“Ia secara tidak langsung akan menggugat sokongan pengundi kepada parti itu sebelum ini dan turut mengurangkan undian ke atas dirinya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, faktor golongan profesional juga tidak dinafikan memainkan peranan penting terhadap sokongan terhadap calon.

“Majoriti kaum di kawasan itu dan kelas profesional yang punyai pengalaman memang boleh mengubah keputusan sebelum ini.

“Ditambah dengan kekuatan jentera dan kewibawaan calon parti lawan yang lebih baik, pastinya sedikit sebanyak akan menggugat pengundi untuk membuat pilihan pada kali ini,” katanya.

Sivamurugan berkata, kemasukan calon bebas pula akan merancakkan PRK kawasan itu di mana pihak yang melakukan protes mungkin memilih calon Bebas.

“Selain itu, pengundi atas pagar juga pastinya akan meneliti setiap calon sebelum mereka undi,” katanya.

Sivamurugan berkata, kesannya jika Anwar kalah bukan setakat di Kajang sahaja tetapi di Selangor dan nasional kerana Anwar merupakan pemimpin pusat.

“Beliau juga menjadi perantara antara Pas dan DAP. Jika kalah, maka akan beri sedikit kesan kepada hubungan rakan pakatan itu,” katanya. - Sinar Harian


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.