Monday, February 3, 2014

Kami tipu demi kebaikan rakyat - Rafizi

pilihanraya kini     10:30 AM    


Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengakui tindakan mengosongkan kerusi DUN Kajang untuk meletakkan Datuk Seri Anwar bertanding akan mengelirukan dan melukakan hati rakyat tetapi menegaskan parti itu “terpaksa melakukannya demi kepentingan rakyat”.

Sambil menepis dakwaan bahawa tindakan itu satu manipulasi terhadap sistem demokrasi, Rafizi berkata, PKR terpaksa melakukannya demi menangani parti UMNO yang semakin agresif memainkan isu agama.

Katanya, PKR meminta maaf kepada rakyat kerana terpaksa melakukan perkara itu dan parti tersebut bersedia ditolak sama ada dalam pilihan raya kecil di Kajang dan pilihan raya lain selepas ini.

“Kami terpaksa melukakan dan mengelirukan rakyat demi untuk perkara yang kepentingan lebih luas kepada rakyat,” katanya di satu forum bertajuk ‘Anwar: Dari Kajang ke Putrajaya’ di ibu negara, semalam.

Forum anjuran Radio Bangsar Utama itu turut dihadiri Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan aktivis pembangkan, Hishammuddin Rasi manakala moderatornya ialah bekas Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah.

Rafizi berkata, PKR mengambil risiko besar apabila mempertaruhkan orang nombor satu Pakatan Rakyat untuk bertanding dan percaya Anwar adalah pemimpin nasional yang mampu mengekang kemaraan UMNO.

“Ada yang kata keputusan ini mempermainkan demokrasi. Tidak. Kita ambil risiko besar memulangkan keputusan ini kepada rakyat. Ia demokratik dan ia juga sadistik.

“Kita letak orang nombor satu kita dalam tangan pengundi-pengundi Kajang yang marah. Kita jelaskan dan kita minta maaf. Kalau penerangan dan minta maaf kita ini tidak cukup, Anwar Ibrahim akan dihukum.

“Kalau ini permainan PKR yang perlu ditolak, tolaklah kami. Kami tidak memanipulasi sistem seperti yang dilakukan UMNO,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Rafizi juga kelihatan beremosi apabila menarik perhatian bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab merancang tindakan tersebut (mengosongkan kerusi DUN Kajang).

“Ia menyakitkan saya kerana ia adalah idea saya untuk mengheret Anwar Ibrahim ke dalam perkara ini (sebak) dan ia bukan perkara yang mudah.

“Namun apabila tanggungjawab ini jatuh di atas bahu anda (sebak), apa lagi yang anda boleh lakukan?” katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan, langkah mengosongkan kerusi DUN Kajang adalah untuk mengekang strategi politik perkauman UMNO yang semakin galak menimbulkan ketegangan kaum.

Mengulas mengenai dakwaan Anwar akan menjadi Menteri Besar, Rafizi berkata: “Ini bukan soal menukar MB semata-mata, ini bukan soal masalah dalaman PKR semata-mata. Ini soal kita perlu berdepan dengan satu serangan politik yang kita perlu bersedia (menghadapinya).”

Menurut beliau, permainan politik dan agama ini perlu dijawab dengan permainan politik juga.

Katanya, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak mampu berdepan ancaman UMNO kerana tiada pengalaman berpolitik.

“Walaupun kita hormat Tan Sri Khalid dan kita hormat kebolehannya mentadbir tapi kita perlu berpijak di bumi yang nyata bahawa Tan Sri Khalid bukan seorang ahli politik yang berkemahiran dan berpengalaman untuk berhadapan politik perkauman dan agama UMNO,” katanya.

Menjawab pertanyaan kenapa perkara itu tidak dibincangkan bersama pemimpin pembangkang yan g lain, Rafizi berkata, rundingan untuk menyokong langkah itu dibuat secara rahsia, tetapi ”PKR tidak menguruskan bagaimana kerahsiaan itu dikomunikasikan sesama pimpinan parti masing-masing.”

“Cantiknya langkah taktikal ini adalah kerana ia ‘mengejutkan’ dan ya, ia mengejutkan ramai orang kerana cara persetujuan itu diolah,” katanya.

Menurut Rafizi, persetujuan PAS diperolehi pada 24 Januari menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali sementara persetujuan DAP pula diperolehi pada hari Isnin, 27 Januari, sehari sebelum pengumuman itu dibuat Tan Sri Khalid Ibrahim pada 28 Januari.

Aktivis sosial, Hishamuddin Rais yang turut menjadi ahli panel, menyokong sepenuhnya langkah itu yang akan membolehkan Anwar menjadi menteri besar Selangor.

Menurutnya, Anwar akan turut serta dalam persidangan Raja-Raja Melayu selaku menteri besar Selangor dan bercakap mewakili 52 peratus pengundi yang memilih Pakatan dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Kalau Lim Guan Eng yang bercakap tentang kalimah Allah dan Tanah Melayu, siapa sahaja yang akan ambil peduli.

“Tetapi kalau Anwar Ibrahim yang bercakap tentangnya, ia strategi yang berbeza sama sekali,” katanya. – New Malaysian Post


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.