Friday, February 7, 2014

Kerajaan Kelantan bergolak akibat perbalahan

pilihanraya kini     3:30 PM    


Ketika hubungan PAS dan PKR bergoncang di peringkat nasional, kerajaan negeri Kelantan juga bergoncang hari ini apabila dua kumpulan daripada PKR dan PAS sendiri menyerang kepimpinannya.

Serangan dalaman PAS adalah daripada penyokong Che Ibrahim Mohamed, bekas kadi yang juga Timbalan Pendaftar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang dipecat manakala satu lagi pihak adalah adalah penyokong Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah Ramlan Mat dari PKR yang juga dipecat daripada jawatannya.‎

Kumpulan penyokong Che Ibrahim membuat demonstrasi hari ini di depan kolej dekat Nilam Puri bersebelahan Masjid Kampung Laut yang bersejarah itu.

Che Ibrahim adalah penyokong utama Datuk Husam Musa yang keempat dipecat oleh pentadbiran kerajaan negeri Kelantan yang baru.

Sebelum ini, Asrul Afendi (Pegawai IT KGT Sdn Bhd yang juga pegawai akhbar Husam), Khir Zahri Abdul Ghani (Pengurus Tabung Tok Kenali), Fauzi Mohamad (Pengurus Besar PMBK Sawit) serta beberapa lagi kakitangan kerajaan negeri serta anak syarikatnya dipecat.

Che Ibrahim hari ini menyerahkan kembali cek daripada KIAS yang diberikan sebagai pampasan sebagai tanda protes.

Penyokong Che Ibrahim menamakan secara langsung Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohamad Amar sebagai pihak yang tidak disenangi mereka dalam krisis ini.

Che Ibrahim ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, beliau akan memfailkan kes ini kepada Mahkamah Perusahaan jika ia tidak diselesaikan dengan baik.

"Ini adalah kes antara saya dengan Nik Amar dan saya tidak akan berdiam diri," katanya.

Semalam, dalam kenyataannya kepada media, Nik Amar menafikan beliau adalah dalang di sebalik pemecatan Che Ibrahim kerana beliau hanya melaksanakan keputusan Lembaga Pengarah KIAS.

Beliau adalah Pengerusi Lembaga KIAS yang menandatangani surat pemecatan Che Ibrahim mulai 1 Februari 2014 lalu.

KIAS adalah kolej yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri.

Sebuah lagi kumpulan adalah 50 orang penyokong PKR dari Jeli yang menyerbu rumah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub di Tumpat malam kelmarin setelah pemecatan Ramlan Mat.

Bekas calon Kuala Balah dalam pilihan raya lalu itu dilantik menjadi penyelia DUN kira-kira tujuh bulan lalu tetapi secara tiba-tiba pelantikannya ditarik balik sebelum cukup tempoh setahun.

Penyelia DUN adalah pegawai kerajaan negeri yang dilantik untuk menguruskan kawasan DUN yang dimenangi oleh pembangkang iaitu Barisan Nasional (BN) di Kelantan.

Ia setaraf dengan wakil rakyat untuk kawasan berkenaan.

Pemecatan Ramlan menjadi sensitif kepada hubungan PAS dan PKR kerana sesetengah pemimpin PAS di Kelantan menganggap kehadiran PKR tidak penting di Kelantan.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, kesemua calon Pakatan Rakyat (PR) daripada PKR kalah di Kelantan.

Namun menurut pemerhati politik Kelantan, penyokong PKR memainkan peranan penting untuk memastikan kemenangan calon PAS terutama di kerusi-kerusi marginal.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Husam tidak dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Kelantan selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi menjadi menteri besar.

Sejak itu, satu persatu penyokong beliau diberhentikan selain beliau sendiri.

Anak-anak syarikat yang selama ini ditubuh dan diketuai beliau juga diambil pihak lain.

Berikutan itu, tawaran kerajaan negeri kepada beliau untuk mengetuai dua anak syarikat ditolak oleh Husam sendiri.

Tidak seperti yang lain, Che Ibrahim tidak mendiamkan diri selepas beliau dipecat.

Beliau menulis dalam akaun Facebook di samping membuat protes bersama penyokongnnya hari ini secara terbuka. - The Malaysian Insider



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.