Monday, February 24, 2014

Kerana undi rahsia, ramai perwakilan MCA keluar dewan

pilihanraya kini     9:19 AM    


Beberapa perwakilan MCA dilihat keluar daripada mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu apabila mereka mahu agenda mesyuarat ditentukan melalui undi rahsia.

Usul tersebut dikemukakan semalam untuk mengadakan pengundian secara undi rahsia dan bukannya melalui mengangkat tangan. Bagaimanapun, usul itu tidak mendapat sokongan yang diperlukan.

Antara mereka yang memilih keluar, bekas naib presiden Gan Ping Sieu berkata isu sama ada MCA perlu menyertai semula kabinet mencetuskan pertikaian dan beberapa perwakilan tidak mahu dilihat menentang kepimpinan baru parti itu.

“Rakan-rakan dalam parti sepatutnya dapat membuat keputusan mereka tanpa rasa takut atau memihak (sama ada untuk menyertai semula kerajaan) pada masa ini,” katanya.

Wartawan tidak dibenarkan untuk mengikuti proses pengiraan dalam dewan di mana ia berlangsung tetapi ramai perwakilan dilihat meninggalkannya sewaktu pengiraan mengenai kewajaran MCA menyertai semula dalam kerajaan sedang berlangsung.

Sementara itu, Bernama melaporkan Gan memberitahu pemberita bahawa beliau enggan mengundi kerana tidak bersetuju dengan pengundian secara mengangkat tangan berbanding kertas undi yang lebih teratur.

Beliau telah mencadangkan undian secara rahsia tetapi tidak dipersetujui kebanyakan anggota perwakilan.

Seorang lagi yang enggan mengundi untuk resolusi itu ialah Naib Presiden Datuk Chua Tee Yong yang berpendapat EGM kali ini tidak menghormati keputusan EGM pada Oktober 2013.

Diminta mengulas insiden itu, Liow berkata walaupun diberi pilihan, majoriti anggota perwakilan telah memilih untuk mengundi secara mengangkat tangan dan hanya 409 memilih untuk mengundi secara rahsia. - Pilihanrayakini


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.