Friday, February 21, 2014

Khalid dan Azmin dipanggil beri keterangan

pilihanraya kini     3:30 PM    


Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali akan dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) berhubung kemelut Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Sesi pendengaran akan mengupas pengguguran Azmin daripada Lembaga Pengarah PKNS serta pemecatan 22 pegawai kanan PKNS Holdings Sdn Bhd - sebuah anak syarikat PKNS - pada 25 Mac, kata Pengerusi Selcat Hannah Yeoh.

“Kami akan memanggil Azmin Ali yang juga Ahli Jawatankuasa Selcat sebagai saksi di dalam isu PKNS bersama-sama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” Hannah memberitahu pemberita.

"Kita dapati pelbagai versi cerita mengenai isu ini. Kita akan bincangkan isu jawatan Azmin dan kes 22 bekas kakitangan PKNS yang telah ditamatkan serta akan lihat hal-hal berkaitan PKNS," kata Yeoh yang juga Speaker DUN Selangor.

Kemelut pengguguran Azmin daripada PKNS pada awal bulan lalu dikatakan punca Khalid kini berdepan dengan kemungkinan jawatan Menteri Besar yang disandang beliau diambil alih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PKR meluluskan usul untuk kerusi DUN Kajang dikosongkan bagi membolehkan Anwar bertanding di situ dan jika menang, dicalonkan sebagai Menteri Besar. 

PRK Kajang akan berlangsung pada 23 Mac. 

Khalid turut dipersalahkan kerana memecat 22 pegawai kanan PHSB yang dikatakan penyokong Azmin. Mereka dituduh menerima gaji besar tetapi khidmat mereka tidak diperlukan oleh PKNS.

Bagaimanapun pegawai-pegawai berkenaan menafikan mereka kroni sesiapa dan menyifatkan Khalid sebagai bertindak melulu.

Azmin menuduh Khalid menggunakan PKNS sebagai senjata peribadi untuk mencantas musuh politiknya.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.