Thursday, February 20, 2014

Kisar benar keluarga malang di Sweden

pilihanraya kini     9:30 AM    


ASSALAMUALAIKUM dan Salam 1Malaysia

Hampir semua rakyat Malaysia sudah sedia maklum mengenai pasangan warga Malaysia yang ditahan di Stockholm, Sweden. Mereka ialah Azizul Rahim Awaluddin dan Shalwati Norshal serta anak-anak mereka Aisyah, Ammar, Adam dan Arif.

Alhamdulillah ramai insan di Malaysia memberi pandangan yang baik dan mendoakan mereka. Saya ucapkan terima kasih dan berharap doa dan solat hajat diteruskan untuk kebebasan mereka. Tapi pada masa yang sama ramai juga yang memberi pandangan negetif dan buruk terhadap mereka ini.

Maka hari ini insya-ALLAH saya nak cerita pengalaman sebagai antara insan yang rapat dan amat baik dengan mereka. Bagi memberi gambaran sebenar siapakah mereka ini yang dituduh suka mendera anak.

Kepada mereka yang menfitnah pasangan baik dan prihatin ini, saya mohon berhentilah daripada berbuat dosa sedemikian. Dan pada mereka yang terus memberi kata hina dan tomahan tanpa usul periksa apatah lagi tidak pernah berjumpa atau mengenali mereka, boleh berhenti dari membuat perkara tersebut.

Sila berhenti dari share perkara fitnah di Facebook dan Twitter.

Saya mengenali mereka buat pertama kali di Johannesburg, Afrika Selatan pada tahun 2005. Ketika itu saya menuntut di University Islam Darul Uloom Zakariya.

Azizul atau dengan panggilan uncle Azizul, seorang yang amat mesra dengan kami (pelajar Malaysia) kerana keprihatinan beliau dan isteri, auntie Shal selalu bertanya khabar dan memberi pertolongan kepada pelajar.

Membuatkan semua pelajar mengenali dan menghormati beliau mahupun pelajar dari Indonesia, Brunei, Singapore, Kemboja, Vietnam dan juga Thailand.

Uncle Azizul dan auntie Shal tidak pernah lupa dan segan silu menjemput kami pelajar Malaysia untuk hadir ke rumah beliau di Sandton City, Johannesburg bagi memeriahkan suasana jika ada majlis makan-makan dan BBQ sesama rakyat Malaysia.

Malah dalam majlis keagamaan seperti tahlil, doa selamat, awal Muharram dan sebagainya beliau bersama isteri tidak pernah lupa untuk menjemput kami hadir bagi mengimamkan solat, azan, memberi tazkirah ringkas dan sebagainya.

Bersama warga Malaysia yang lain di Afrika Selatan pada ketika itu, Duta Malaysia Datuk Yahya (2004), Timbalan Duta, Tuan Ilham Ilyas, kakitangan Wisma Putra, abang Rohaizat, auntie Maznah, Kak Shima (2008), uncle Kamaruddin (2004), uncle Wan Aizan, abang Isharudin (2008), Pengarah Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Rani (Disember 2006), abang Tasya JPM (2004) dan abang Azrul JPM (Oktober 2008).

Kakitangan Kementerian Pertahanan, (Minef) DA Kolonel Datuk Ibrahim (2005), Sarjen Nazri (2004) dan Sarjan Yusoff (2008), TC Matrade, Mansor (2005), ATC abang Norman (2007), Pengurus Malaysia Airlines (MAS) Afrika Selatan, Yusno dan Zulkarnain, kakitangan Tourism Malaysia, abang Eddy Mazlan, Rahman (2004) dan Syahreem Tan (2007), termasuklah ahli perniagaan Malaysia di Afrika Selatan Wan Batu, Wan Zul, Mejar (B) Amin dan bersama keluarga masing-masing.

Kesemua mereka ini mengenali rapat dan mengakui sifat baik ibu bapa yang ditunjukan uncle Azizul dan auntie Shal. Tiada seorang pun dari mereka ini bersetuju dengan tuduhan pihak Sweden. Malahan auntie Shal adalah seorang guru yang telah mengajar lebih 10 tahun di Sekolah Seri Puteri.

Dikenali ramai pelajar dengan panggilan Miss Shal. Kebaikan, keikhlasan dan keprihatinan auntie Shal terhadap pelajar diakui oleh bekas-bekas pelajar Sekolah Seri Puteri.

Sebagai pelajar paling rapat dengan keluarga uncle Azizul ketika di Afrika Selatan, saya selalu dipanggil oleh uncle Azizul untuk hadir ke rumah beliau untuk mengajar Aisyah, Ammar, Adam dan Arif mengaji dan solat. Dan pizza buatan aku amatlah disukai mereka berempat yang riang ini.

Sehingga ketika mengunjungi mereka di Sweden pada tahun 2011, perkara pertama yang Aisyah dan Ammar minta ialah "abang Afif buatlah pizza, kitorang nak makan pizza.."

Kadang-kadang hampir setiap hujung minggu saya datang ke rumah mereka semasa di Afrika Selatan. Alhamdulillah selama lima tahun tak pernah saya melihat kanak-kanak ini dipukul seperti yang dituduh mahupun kesan pukulan apatah lagi deraan.

Sebagai seorang guru auntie Shal sendiri tahu bagaimana mendidik anak-anak beliau dan saya pernah menjadi wakil keluarga untuk Aisyah, Ammar dan Adam di sekolah.

Alhamdulillah tak pernah dengar cikgu mengadu ternampak kesan deraan atau pukulan pada mereka..

Pada tahun 2011 sekali lagi saya berpeluang untuk menyambut Ramadan dan Syawal bersama mereka sekeluarga di Stockholm, Sweden.

Selama lebih sebulan saya tinggal bersama mereka, tiada banyak perubahan pada mereka sekeluarga. Semua seperti biasa kecuali melihat Aisyah, Ammar, Adam yang makin membesar dan Arif sudah memulakan sesi persekolahan.

Alhamdulillah dengan cara didikan dari ibu bapa yang baik dan tanpa paksaan Ammar yang baru berumur 11 tahun mampu berpuasa di bulan Ramadan yang pada ketika itu musim panas - siang selama 18 jam di Sweden.. Dan saya menjadi saksi melihat keupayaan Ammar dengan secara rela walau beberapa kali auntie Shal memberi nasihat supaya berbuka jika tidak dapat menahan puasa.

Solat adalah perkara utama yang diberi tumpuan oleh uncle Azizul dan auntie Shal.. Alhamdulillah selama sebulan Ramadan di Sweden.

Keluarga ini tidak pernah meninggalkan solat Subuh, Magrib, Isyak dan terawih secara berjemaah. Kemeriahan Ramadan bertambah lagi apabila seorang pelajar super senior auntie Shal iaitu kak Melati yang baru habis Master di Denmark datang menziarah untuk seminggu lebih.

Dan antara pelajar auntie Shal yang lain iaitu Ilham Ainaa dan Nabila yang saya kenali yang kini sedang menyambung pelajaran di United Kingdom juga mengakui kebaikan dan keprihatinan "Miss Shal" semasa di Sekolah Seri Puteri.

Saya bukan membuat cerita untuk menutup apa yang telah dituduh pada awalnya tapi semua terjadi adalah salah faham guru kelas Adam yang memikirkan bahawa ibu bapa mereka memukul dan mendera dengan teruk jika anak-anak mereka tidak solat apabila adam dengan tidak sengaja dan tanpa niat memberitahu kepadanya.

Mengharapkan doa dari semua warga Malaysia, semoga Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal dibebaskan secepat mungkin.

Syukur alhamdulillah anak-anak mereka sudah dibawa pulang. Solat hajat untuk kebebasan mereka masih diteruskan oleh pelajar agama yang mengenali mereka di Afrika Selatan, Zambia, Mesir, Yemen, Jordan, Saudi mahupun di Malaysia.

Moga hari ni kita doakan mereka yang susah dan insya-ALLAH bila kita susah ALLAH membuka hati orang lain untuk mendoakan kita.

Sekian terima kasih.


Sumber: http://timetravelafif.blogspot.com/2014/02/uncle-azizul-dan-auntie-shal-yang-ku.html?m=1


* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Pilihanrayakini.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.