Tuesday, February 18, 2014

Malaysia ketiga terbaik di dunia

pilihanraya kini     8:43 AM    


Malaysia tampil sebagai negara ketiga terbaik di dunia bagi mereka yang berada di luar negara untuk bersara, menurut laporan oleh InternationalLiving.com.

Sekiranya anda yang tinggal di luar negara merancang untuk bersara di samping mempelbagaikan pelaburan atau menikmati tahap pengembaraan lebih tinggi, negara Panama, Ecuador dan Malaysia antara lokasi ideal bagi tujuan itu.

Pengarang Eksekutif InternationalLiving.com., Jennifer Stevens berkata, tiga negara tersebut merupakan lokasi teratas menjadi pilihan pesara Amerika Utara pada 2014.

"Sebagai destinasi persaraan utama Asia, penggunaan bahasa Inggeris di Malaysia yang meluas sebagai bahasa pertama tidak rasmi menjadikannya lebih mudah untuk pesara Amerika Utara.

"Malaysia juga eksotik dan jauh tetapi sangat berpatutan," katanya.

Menurut Jennifer, bercakap tentang tempat bagi meningkatkan gaya hidup tanpa mengubah bajet, Malaysia adalah negara yang membolehkan seseorang itu menikmati gaya hidup negara maju pada kadar AS$1,700 (RM5,603.20) sebulan.

"Negara berkenaan menawarkan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang membenarkan warga asing untuk tinggal menggunakan visa sosial selama 10 tahun dan boleh diperbaharui.

"Sekiranya anda berhijrah ke Malaysia yang merupakan destinasi pelancongan kesihatan, anda boleh bergantung kepada penjagaan sangat baik dengan kos bayaran kurang daripada separuh berbanding kadar bayaran di Amerika Syarikat (AS).

"Tidak seperti negara lain di Asia, anda boleh membeli hartanah, tanah, rumah dan kondominium pegangan bebas di Malaysia," katanya lagi.



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.