Wednesday, February 12, 2014

Nelayan serbu pejabat Menteri

pilihanraya kini     11:30 AM    


Warga nelayan daripada Pengkalan Nelayan daerah Sungai Besar meminta agar pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) segera menangani isu pencerobohan bot pukat tunda dari Zon B ke dalam Zon A yang dihadapi agar masalah yang tidak berpanjangan.

Ketua Komuniti Nelayan Pengkalan Sungai Dorani, Saidip Talib, 48, berkata pihak LKIM perlu lebih tegas dan tidak mengambil mudah berhubung perkara ini kerana ianya mendatangkan kesan negatif terhadap nelayan di perairan.

"Masa akan datang saya minta pihak perikanan perlu kerja dengan tegas. Jangan tidur.

"Selama ini perikanan hanya mendiamkan diri sahaja kerana yang melakukan perkerjaan adalah anak-anak nelayan. Bila mati tiada pelindungan insurans dan tiada siapa yang akan bertanggung jawab," katanya kepada Rakyat News di Wisma Tani, di sini hari ini.

Seramai 30 orang wakil Persatuan Nelayan dari Sungai Besar hadir untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri.


Beliau turut kecewa kerana tiada sebarang tindakan susulan daripada LKIM selepas aduan atau penangkapan penceroboh yang dilakukan oleh anak-anak nelayan.

"Pihak berkuasa seperti Perikanan dan Maritim ada akan tetapi mereka tidak buat kerja.

"Ini bermakna anak-anak nelayan yang buat kerja seperti menangkap, membuat laporan polis dan hantar keperikanan tetapi tiada tindakan. Jaring rosak pun tiada bayaran ganti rugi," katanya lagi.

Saidip menegaskan, modal untuk ke perairan laut adalah atas inisiatif individu itu sendiri dan pekerjaan hanya dilakukan pada waktu siang sahaja.

"Pada waktu malam kita tidak boleh buat kerja kerana terlalu bahaya, mereka tiada pasang lampu pada bot. Modal minyak, makan dan lain-lain adalah inisiatif sendiri," katanya.

Jelas Saidip, bot pukat tunda menjejaskan pendapatan harian mereka sebagai nelayan.

"Penangkapan hasil jikalau tiada pukat tunda hasilnya satu hari melebihi seratus ringgit dan bila pukat tunda mengamuk, sudah tiada pendapatan," katanya lagi.

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan, pihak kerajaan mengklafikasikan masalah ini sesuatu yang serius dan satu amaran keras telah dikeluarkan disusuli dengan tindakan jika terdapat nelayan yang ingkar terhadap amaran tersebut. - Rakyatnews


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.