Monday, February 3, 2014

Nik Nazmi minta Faekah tutup mulut

pilihanraya kini     9:30 AM    


Perang antara kelompok-kelompok pemimpin dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terus hangat dan merebak sehingga ke laman sosial.

Terbaharu Timbalan Speaker DUN Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad secara terbuka menyelar bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin yang didakwanya terlalu banyak bercakap pasal politik.

Nik Nazmi melalui Twitternya berkata, Faekah tidak perlu bercakap soal politik ekoran tidak lagi memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kata sudah bukan Setiausaha Politik, tapi masih banyak cakap soal politik.

“Anda perlu tahu masa anda sudah tamat,” tulisnya sinis.

Faekah yang juga penyokong dan bekas orang kanan Abdul Khalid menjadi tumpuan semalam apabila menjadikan Twitter untuk mempertahankan Menteri Besar Selangor itu termasuk melemparkan sindirian dipercayai terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dinamakan sebagai calon di DUN Kajang.

Ia dipercayai ada kaitan dengan spekulasi Anwar bertanding untuk memberi laluan menjadikannya Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid.

Sambil menyifatkan individu yang mengejar jawatan bernafsu besar, Faekah menasihatkan supaya ahli politik terbabit belajar mengenai undang-undang sebelum malakukan apa-apa tindakan.

“Yang mengejar bernafsu besar, yang mengendong patutkah berjiwa besar?”

“Ahli politik di luar Selangor, belajarlah Perlembagaan negeri, proses dan prosedurnya. Jangan menghina sultan dan jangan terlalu yakin dengan diri sendiri,” katanya.

Ekoran itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali – pemimpin yang diketahui umum tidak sebulu dengan Abdul Khalid, dilaporkan telah membidas kembali kenyataan Faekah.

“Lebih baik turun ke Kajang dan bantu kempen PR dan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada meracau di rumah. Atau sudah tak relevan,” katanya. – New Malaysian Post


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.