Wednesday, February 26, 2014

PBS diteruskan atau batal?

pilihanraya kini     9:30 AM    


ANTARA isu yang menjadi perhatian kebelakangan ini ialah pelaksanaan sistem aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Ramai guru mempersoalkan PBS kerana didapati banyak masalah termasuk kelemahan berkaitan sistem capaian dan penggunaan alat merekod prestasi serta bertambahnya beban tugas.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut melahirkan rasa tidak puas hati. Di sekolah-sekolah isu tersebut panas diperkatakan oleh guru-guru.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan guru-guru di Putrajaya bagi mendapatkan maklum balas berhubung isu tersebut.

Atas rasa keprihatinan, beliau yang juga Menteri Pendidikan, bertindak segera menangguhkan pelaksanaan PBS bagi dikaji semula.

Muhyiddin memperlihatkan keterbukaan dengan menerima teguran dan kritikan, yang sepatutnya dipikul di peringkat pegawai kanan dan pihak yang mengesyorkan PBS.

Awang percaya ada berlaku kekhilafan, kelemahan dan terlepas perhatian berhubung aspek-aspek tertentu sistem tersebut. Sepatutnya sistem itu dilaksanakan secara perintis terlebih dahulu bagi melihat kesesuaiannya dan respons guru.

Kini semua pihak mengharapkan Kementerian Pendidikan mencari penyelesaian terbaik. Moga isu itu tidak akan dibiarkan berlarutan kerana akan memberikan banyak kesan negatif selain ada pihak akan menangguk di air keruh.

Sebenarnya dalam landskap politik baharu mudah sangat untuk kerajaan menjadi sasaran termasuk dalam isu PBS. Maka semua pihak harus bertenang dan berilah ruang kepada kementerian mengatasinya terutama aspek pelaksanaan supaya mudah dan lancar. Pada Awang, PBS adalah sistem yang mampu melonjakkan lagi pencapaian para pelajar negara ini. Adalah wajar ia diteruskan selepas dilakukan penambah baikkan.

Namun Kementerian Pendidikan juga perlu bersedia dengan senario yang satu lagi. Jika selepas penambah baikkan dalam kajian semula itu - PBS masih dilihat akan membawa lebih banyak mudarat dan masalah - batalkan saja.

© Utusan Melayu (M) Bhd


* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Pilihanrayakini.


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.