Friday, February 21, 2014

Pejabat PM dikepung

pilihanraya kini     8:54 AM    


Kumpulan penunjuk perasaan, semalam bertindak mengepung kompleks Kementerian Pertahanan di pinggir Bangkok dalam usaha untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra selepas insiden keganasan tercetus, kelmarin.

Media tempatan melaporkan ribuan penyokong Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) itu turut berhimpun di luar premis terbabit yang dijadikan pejabat sementara Yingluck sejak beberapa minggu lalu.

Jurucakap kompleks itu, Mejar Surachart Chitjaeng memaklumkan pemimpin itu mengambil langkah awal tidak hadir ke premis tersebut selepas menerima ancaman PDRC.

"Yingluck tidak mahu mendatangkan sebarang masalah kepada orang ramai atau kakitangan pejabat Kementerian Pertahanan ini jika beliau tetap berdegil untuk menjalankan tugasnya seperti biasa," katanya. 

Sementara itu, pemimpin PDRC, Suthep Thaugsuban mengancam untuk menyerang kesemua perniagaan milik keluarga Shinawatra termasuk Advance Info Service (Ais) dan SC Assets Corporation.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Suthep mengadakan pertemuan dengan Jeneral Apichart Saengrungruang di kompleks terbabit untuk berbincang mengenai tuntutan mereka.

"Yingluck tidak lagi mempunyai kuasa untuk mentadbir negara ini selepas kerajaan membenarkan pihak berkuasa menggunakan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan hingga menyebabkan lima maut manakala puluhan cedera.

"Jika kerajaan masih berdegil, kami tidak teragak-agak untuk menyasarkan perniagaan keluarga Shinawatra dan tindak balas ke atas Yingluck akan diperhebatkan," jelasnya, laporan dipetik dari AFP. - Sinar Harian


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.