Friday, February 14, 2014

Polis Johor tubuh 'Unit Ninja'

pilihanraya kini     10:00 AM    


Polis Johor akan menubuhkan satu unit khas dikenali sebagai Unit Ninja di semua daerah di negeri ini bagi memerangi jenayah jalanan khususnya membabitkan jenayah ragut.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff unit khas ini akan diwujudkan memandangkan kajian mendapati hampir 50 peratus jenayah yang berlaku di negeri ini adalah berpunca dari jenayah jalanan iaitu peragut.

"Kita juga dapati peragut-peragut ini sangat berkait rapat dengan penagihan dadah dan arahan supaya menambahkan ahli Ninja dalam pasukan sudah saya keluarkan di semua daerah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan lapan buah kenderaan pacuan empat roda di sini, semalam.

Mokhtar berkata, pasukan Ninja itu tidak akan memakai lambang polis bagi memudahkan pasukan berkenaan menjalankan rondaan.

"Dengan penyamaran ini, kita berharap dapat mempertingkatkan operasi dalam memerangi jenayah ragut ini. Saya juga memberi arahan kepada bahagian Narkotik supaya menangkap penagih-penagih dadah ini pada setiap hari," katanya.

Selain itu, beliau berkata penyerahan kenderaan-kenderaan itu merupakan komitmen kerajaan dari aspek pelaburan keselamatan dalam membantu pihak polis melaksanakan tugas.

"Bukan sahaja sumber manusia diperlukan tetapi prasarana juga penting dalam membanteras jenayah terutamanya dalam menghadapi kawasan yang sukar seperti ladang kelapa sawit dan kawasan berbukit," katanya.

Mokhtar berkata dengan bantuan yang diberikan itu, diharapkan semua anggota dapat bekerja dengan bersungguh-sungguh dan mempertingkatkan rondaan serta memberikan keyakinan kepada masyarakat setempat.

Kesemua lapan kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan tiga buah Toyota Hiace menelan perbelanjaan kira-kira RM718,000 dan akan diagihkan kepada enam buah Ibu Pejabat Polis Daerah iaitu Kluang, Batu Pahat, Segamat, Mersing, Kota Tinggi dan Ledang. - Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.