Friday, February 7, 2014

PR berkubur jika Anwar tewas di Kajang

pilihanraya kini     4:30 PM    


Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menyifatkan ‘Langkah Kajang’ akan menjadi penamat kepada survival Pakatan Rakyat (PR) jika Datuk Seri Anwar Ibrahim tewas dalam pilihan raya kecil di kawasan itu pada 23 Mac ini.

Kekalahan Anwar katanya, akan menyebabkan “kematian Pakatan Rakyat” manakala momentum hasil pencapaian mereka dari gabungan itu akan terhenti dan akhirnya membawa perpecahan.

Bercakap dalam satu forum bertajuk forum ‘Serampang Kajang’ semalam, Tony menegaskan, UMNO akan menggunakan segala peluru yang ada untuk memenangi pilihan raya kecil itu.

“Jika kita kalah di Kajang, ia bukan saja menjadi pengakhiran kerjaya politik Anwar, ia juga pengakhiran Pakatan Rakyat (PR) seperti yang kita tahu, juga gerakan seperti ubah, reformasi untuk tahun mendatang,” katanya dipetik portal Malaysiakini.

Tony bagaimanapun berkata, pandangan itu hanya pendapat peribadinya sendiri dan bukan dari DAP.

Kata-kata beliau itu mendapat kritikan dari rakan panel forum itu, Datuk Ambiga Sreenevasan yang menegaskan bahawa PR tidak selemah yang disangka kerana mempunyai lebih dari seorang pemimpin peringkat nasional selain Anwar.

Tony berkata, amat sukar diterima sekiranya Anwar selaku pengerusi PR dan calon perdana menteri pakatan di kerusi yang dimenangi majoriti selesa dalam pilihan raya umum lepas tiba-tiba tewas.

Beliau yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Utara berkata keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan pilihan raya pada 23 Mac depan menyebabkan Pakatan dan Anwar bakal menghadapi serangan penuh BN selama 55 hari sebelum tarikh pembuangan undi.

“Adakah kita akan bangkit dalam masa enam atau lapan tahun kemudian, muncul pemimpin lain untuk memimpin, ya, saya pasti. Tapi momentum akan hilang.

“Jangan pandang rendah PRK Kajang. Mereka (BN) akan guna semua isu termasuk perkauman dan agama untuk mendapat undi. Umno akan cakap benda lain kepada Melayu, MCA akan cakap kepada Cina,” kata beliau.  - New Malaysian Post


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.