Thursday, February 13, 2014

Tan Sri Adenan Satem KM Sarawak yang baharu

pilihanraya kini     11:15 AM    


Tan Sri Adenan Satem dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru, menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang menerajui negeri terbesar di Malaysia selama 32 tahun.

Taib mengumumkan Adenan, 68, sebagai pilihannya selepas menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhamad Salahuddin sebentar tadi.

Taib berkata Adenan akan mengambil alih daripada beliau pada 1 Mac ini dan keputusan itu mempunyai sokongan padu parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) di Sarawak.

Taib mengesahkan beliau akan mengosongkan kerusi DUN Balingan di sebalik ura-ura pemimpin itu akan dilantik sebagai Tuan Yang DiPertua Negeri pada 1 Mac.

Justeru Taib akan mengosongkan kerusi DUN negeri Balingan bagi memegang jawatan TYT.

Beliau berkata Adenan akan bertanggungjawab menguruskan soal calon dan persiapan BN untuk pilihan raya kecil yang dijangka diadakan pada bulan depan.

Adenan yang juga Menteri Tugas-tugas Khas dipilih daripada senarai calon yang turut merangkumi Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Openg, 64; dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Datuk Awang Tengah Ali Hasan, 58.

Pemilihan Adenan adalah bersandarkan kepada pengalaman luas beliau dalam kepimpinan PBB.

Beliau dilihat berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Taib dikatakan mempunyai kepercayaan tinggi terhadap Adenan, malah turut melantiknya sebagai Penasihat Ketua Menteri dan Menteri Tugas Tugas Khas sekembalinya beliau ke Sarawak.

Justeru, Adenan dilihat sebagai calon paling tepat bagi menerajui sebuah negeri yang mempunyai lebih 27 etnik dan suku kaum.

Banyak pihak, termasuk komuniti perniagaan melihat Abdul Taib selaku Yang di-Pertua Negeri dan Adenan sebagai Ketua Menteri gandingan terbaik untuk terus memastikan kesinambungan pembangunan dan ekonomi negeri. - Antarapos


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.